fbpx
Ikan gerut-gerut selalunya dianggap ‘pengacau’ ketika menyasarkan ikan-ikan lain bersaiz kasar.

Pancing ikan gerut-gerut di tambak berbatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TaMBAK-TAMBAK berbatu ini merupakan salah satu lokasi pancing yang saya selalu kunjungi. Antaranya ialah di muara sungai Kampung Madat di Pengkalan Chepa, Kota Bharu Kelantan.

Terdapat pelbagai jenis ikan mendiami kawasan ini seperti ikan siakap putih, siakap merah, gelama, belanak, sembilang, bebaji, duri dan gerut-gerut.

Terdekat ini saya berkesempatan mengunjungi lokasi ini bersama-sama Bob serta Fikri dan mendapati sudah ada beberapa orang anak muda lain sedang memancing.

Inilah kebaikan aktiviti meman­cing kerana kita boleh bertemu rakan-rakan baharu dan sekali gus memeriahkan sesi pancingan bersama-sama.

Apa yang uniknya tentang ikan gerut-gerut ialah ia akan menge­luarkan bunyi ‘grunt, grunt, grunt’ sebaik sahaja ia dibawa naik ke atas darat.

Sebab itu ia dinamakan gerut-gerut atau silver grunter dalam bahasa Inggeris.

Ikan gerut-gerut adalah spesies ikan berkumpulan dan apabila seekor berjaya dipancing, kawannya yang lain akan menyusul satu per satu dalam pelbagai saiz.

Ikan ini boleh membesar ke saiz melebihi dua kilogram seekor, namun saiz sebegitu biasanya dipancing di laut lepas.

Jika memancing dari kawasan tambak berbatu pula, saiz tapak tangan sudah dianggap besar.

Perkara ini boleh membuatkan pemancing lebih teruja untuk menunggu memancing ikan gerut-gerut berbanding ikan-ikan spesies lain.

Umpan terbaik memancing ikan gerut-gerut ialah udang mati yang dipotong kecil kerana baunya lebih menarik minat ikan gerut-gerut untuk membahamnya.

Pancing dasar dengan menggunakan batu ladung dan mata kail saiz kecil adalah set-up terbaik untuk mendapatkan ikan gerut-gerut.

Sebenarnya, ia seronok dipancing jika menggunakan set pancing ultra light.

Ini berikutan umpan dapat dipersembahkan dengan pantas ke lokasi kumpulan ikan ini berada.

Ikan gerut-gerut ialah spesies yang kuat menggetu umpan, jadi bagi meningkatkan lagi hasil tangkapan perlu dipastikan mata kail yang digunakan itu betul-betul tajam barulah mudah tercangkuk mulutnya setiap kali joran disentap.

Berpesta
Sebaik sahaja kelengkapan pan­cing dipasang, kami mula mencari tapak untuk melabuhkan umpan.

Seorang rakan, Syakirin merupakan pemancing pertama beraksi dan dia tidak perlu menunggu lama, umpan udang yang dilabuhkan terus disambar kuat.

Secepat kilat dia menyentap jorannya dan mangsa tersebut melekat kukuh pada mata kailnya. Sebaik sahaja berjaya dikarau ke tebing, ikan gerut-gerut itu terus mengeluarkan bunyi ‘grunt, grunt, grunt’ .

Selepas selesai bergambar, Syakirin menghulurkan lagi umpannya dan sekali lagi ikan memilihnya tetapi seekor ikan bebaji pula menunjukkan kawasan labuhan umpannya berpasir.

Bob dan Fikri juga tidak ketinggalan menaikkan ikan gerut-gerut lagi. Keseronokan itu diteruskan dan suasana pada pagi itu riuh sekali, maklumlah semua orang mendapat habuan masing-masing.

Selain gerut-gerut, kami turut dapat ikan bebaji, tanda, duri dan beberapa ekor gelama.

Dalam seronok melayan ikan gerut-gerut, salah seorang daripada kami dapat sambaran kuat, tetapi sayang ikan itu berjaya melepaskan diri.

Selepas kejadian tersebut ikan mulai kurang menjamah umpan dan satu jam kemudian kami menamatkan aktiviti memancing ikan gerut-gerut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN