TEHRAN – Iran melancarkan serangan baharu yang diperhebat ke atas sasaran Israel dan Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, kata penyiar negara, IRIB hari ini.
Serangan bertubi-tubi itu adalah yang paling hebat dan paling berat sejak permulaan perang yang berlangsung selama tiga jam, kata penyiar itu dengan memetik kenyataan daripada Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
Ia menyasarkan bandar-bandar Israel termasuk Tel Aviv dan Haifa, serta Barat Baitulmuqaddis, merujuk kepada kawasan bandar yang berada di bawah kawalan penuh Israel.
Tentera Israel berkata, ia mengesan peluru berpandu menuju ke arahnya dan telah mengaktifkan pertahanan udara.
Wartawan AFP melaporkan terdengar siren serangan udara di Baitulmuqaddis dan bunyi letupan dari kejauhan.
Dalam satu kenyataan terdahulu yang dikeluarkan oleh agensi berita Tasnim, lRGC berkata, sejumlah besar peluru berpandu balistik telah ditembak ke arah pangkalan Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain dan di tiga kemudahan lain di wilayah Kurdish di Iraq.
Pasukan itu juga berkata semalam bahawa tiada kapal Tentera Laut AS yang berani menghampiri Selat Hormuz, selepas Setiausaha Tenaga, Chris Wright pada mulanya menyatakan tentera laut telah mengiringi sebuah kapal tangki minyak melalui selat itu.
Hantaran media sosial itu dipadam beberapa minit kemudian.
Serangan baharu dilaporkan di seluruh rantau Teluk awal hari Rabu, dengan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu melaporkan pemintasan peluru berpandu dan dron. – AFP














