PETALING JAYA – Menjelang Aidilfitri, rata-rata syarikat kurier kini berdepan lambakan bungkusan apabila orang ramai dilihat semakin rancak membeli-belah secara dalam talian bagi persiapan raya.
Menerusi beberapa video tular di media sosial, kelihatan lori kelihatan lori syarikat kurier dipenuhi bungkusan sehingga padat, manakala pekerja gudang pula sibuk mengasingkan barang mengikut kawasan pelanggan.
Lebih lucu lagi, bukan sekadar pakaian atau aksesori menjadi pilihan pembeli, malah meja makan, karpet, kerusi bankuet dan lain-lain barangan besar turut dibeli secara dalam talian.
Di gudang pula, suasana cukup sibuk apabila pekerja bertungkus-lumus menyusun, mengimbas dan mengasingkan bungkusan yang dipercayai meningkat berkali ganda berbanding hari biasa.
“Pelanggan ku sayang tolonglah jangan bising kalau barang korang lambat sampai. Kami pun dah nak muntah dengan lautan bungkusan dekat hab ni,” komen salah seorang pekerja syarikat kurier.
“Raya kali ni tak relaks ya. Tak cukup dalam, pacak pula kanopi luar untuk guni yang besar-besar. ‘Kaw kaw’ raya tahun ni,” komen pekerja syarikat kurier yang lain.
“Suami saya saya kerja syarikat kurier. Dia cakap dekat hab sekarang dah macam kena tsunami. Terlalu banyak bungkusan. Mana taknya saya sendiri pun hari-hari pesan barang,” komen pengguna yang lain pula.
Di media sosial, ramai pembeli turut berkongsi keterujaan melihat lambakan bungkusan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai ‘petanda raya makin dekat’.
Selain itu ada juga yang menzahirkan kebimbangan melihat video lambakan bungkusan tersebut, runsing jika barang tidak sampai sebelum raya.
“Lepas ni, kita jumpa raya tahun depan lagi. Musim raya je kami macam ni, musim lain insya Allah tak. Kami janji,” komen Jamilah Noh.
“Semoga dipermudahkan kerja-kerja abang kakak syarikat kurier. Baju raya saya tak sampai lagi ni, tak ada baju nanti nak pakai,” komen Iqahriz.
“Baru ingat nak pesan dapur gas dekat ‘online’. Tengok macam ni terus tak jadilah, nanti tak dapat pula masak rendang raya,” komen Iqin pula. – KOSMO! ONLINE














