PETALING JAYA – Seorang individu dikenali sebagai Cikgu Chandra berdepan detik cemas apabila rumahnya dipercayai diceroboh tiga lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dalam kejadian di Puchong.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berkata, Cikgu Chandra menghubunginya dalam keadaan cemas memaklumkan kejadian tersebut.
Menurutnya, individu berkenaan mendakwa tiga lelaki memakai topeng penuh telah memasuki pekarangan rumahnya sebelum merosakkan harta benda.
“‘Brother, ada orang nak cuba bunuh saya!’ Cikgu Chandra hubungi saya dengan nafasnya tercungap-cungap.
“Dia memaklumkan kepada saya bahawa tiga lelaki memakai topeng penuh bersenjatakan parang masuk ke perkarangan rumahnya dan pecahkan cermin kereta dan tingkap rumahnya di Puchong serta cuba pecah masuk ke dalam rumah,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook hari ini.
Firdaus turut mempersoalkan identiti individu yang terlibat serta dalang di sebalik kejadian tersebut.
“Siapakah pelakunya dan siapakah dalangnya? Mohon pihak berkuasa siasat dan tangkap kesemua pelaku serta mereka yang menghasut sehingga mereka berani lakukan semua ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














