BEREGU lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa menunggu lebih lama bagi menamatkan kemarau kejuaraan dalam saingan Jelajah Dunia Super 1000 selepas muncul naib juara pada Kejohanan Badminton All England 2026.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham awal pagi semalam, bekas juara dunia itu terpaksa akur tewas 21-18, 12-21, 19-21 kepada juara bertahan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
Kekalahan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik sekali lagi terlepas gelaran All England, selepas turut mengalami nasib sama ketika mereka tewas di perlawanan akhir pada edisi 2019 dan 2024.
Aaron mengakui kekalahan dialami sangat menyakitkan, tetapi menjelaskan, masih ada perkara positif boleh diambil, terutamanya selepas tewas dalam aksi final Super 1000 yang kelapan dalam karier.
“Sudah tentu sangat sakit apabila tewas di perlawanan akhir, tetapi kami sudah belajar sesuatu daripada kekalahan ini. Saya fikir ini adalah final Super 1000 kelapan atau kesembilan, tetapi masih belum dapat memenanginya.
“Mungkin belum tiba masanya untuk kami menjadi juara (Super 1000). Tambahan pula, kami masih lagi aktif bermain, jadi ada banyak masa untuk kami cuba lebih baik,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sebagai rekod, ia merupakan kekalahan ketiga Aaron-Wooi Yik kepada beregu No.1 dunia itu dengan pertemuan terakhir pada final Terbuka Malaysia Januari lalu turut memihak kepada Won Ho-Seung Jae.
Pada aksi final All England semalam, hanya dua mata memisahkan beregu negara dengan kejuaraan apabila mengejar kedudukan Won Ho-Seung Jae 19-20 di set ketiga sebelum tewas dalam tempoh 63 minit.
Sementara itu, Wooi Yik menjelaskan, beregu Korea mendapat kelebihan dari segi bantuan angin di set ketiga selepas bertukar gelanggang, sekali gus menyebabkan dia dan Aaron berdepan kesukaran.














