KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berwibawa dan berdisiplin tinggi.
Timbalan Menteri Pertahanan (Mindef), Adly Zahari berkata, sebarang siasatan atau tindakan terhadap individu tertentu dalam ATM bukan sebagai cerminan kepada keseluruhan pasukan tersebut.
“Dalam konteks ini, Mindef memberi keutamaan kepada pendekatan institusional dengan memastikan kesinambungan kepimpinan, kestabilan rantaian perintah serta kesiapsiagaan operasi ATM.
“Bagi memastikan keyakinan rakyat terus diperkukuh, Mindef akan terus mempertingkatkan aspek tadbir urus, pematuhan prosedur dan akauntabiliti melalui penguatkuasaan disiplin, audit berkala serta kerjasama berterusan dengan agensi pemantauan yang berkaitan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli berhubung perancangan untuk mengukuhkan semula kepercayaan rakyat terhadap ATM selepas insiden siasatan dan tangkapan terhadap pegawai atasan tentera yang terlibat dengan kes salah laku dan pecah.amanah.
Adly berkata, pada masa yang sama, penekanan terhadap nilai integriti, profesionalisme dan etika kepemimpinan terus diterapkan dalam latihan dan pembangunan sumber manusia ATM.
Menurut beliau, Mindef juga menegaskan komitmen untuk menangani isu-isu berkaitan secara berfakta dan berlandaskan undang-undang tanpa tunduk kepada spekulasi atau persepsi yang boleh menjejaskan moral anggota serta imej ATM sebagai benteng pertahanan negara.
Tegas beliau, kerajaan akan terus memastikan ATM kekal diyakini, dihormati dan bebas daripada sebarang unsur yang boleh menggugat keselamatan serta kepentingan negara. – KOSMO! ONLINE














