PETALING JAYA – Tindakan mencurigakan tiga individu lelaki yang datang ke rumah dengan alasan mahu memeriksa tong gas mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk di Taman Karang Indah, Kesang, Muar semalam.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 12.30 tengah hari apabila tiga individu terbabit didakwa memperkenalkan diri kononnya mahu membuat pemeriksaan tong gas.
Bagaimanapun, menerusi hantaran di media sosial, lelaki terbabit disyaki mempunyai niat lain selepas tindakan mereka dilihat mencurigakan.
“Dia orang ini kerja tipu orang, datang rumah orang nak tipu, jangan percaya,” tegas seorang lelaki dalam hantaran tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut berkongsi pengalaman serta menasihati agar lebih berhati-hati jika didatangi individu tidak dikenali.
Pengguna Grace haritini berkata, dia pernah berdepan dengan situasi sama namun tidak membenarkan individu tersebut masuk ke dalam rumah.
“Pernah kena tapi tak bagi mereka masuk rumah, mana ada orang nak periksa tong gas satu persatu rumah,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Jamillah Lias turut menasihati orang ramai supaya tidak membenarkan individu tidak dikenali memasuki rumah.
Dalam pada itu, seorang pengguna lain mendakwa kejadian hampir sama pernah berlaku di rumah keluarganya baru-baru ini.
“Rumah mak kita pun dah terkena dua minggu lepas, nasib kita ada di rumah masa itu dan nampak salah seorang sudah masuk sampai ke dapur sebelum mereka dihalau keluar.
“Mungkin mereka sasarkan rumah yang ada warga emas sebab anggap anak-anak semua keluar bekerja,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihati untuk segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan di kawasan perumahan masing-masing. – KOSMO! ONLINE














