NEW YORK – Harga minyak dunia melonjak melebihi AS$100 (RM396.95) setong buat kali pertama dalam tempoh hampir empat tahun semalam berikutan kebimbangan perang yang semakin sengit di Asia Barat boleh mengakibatkan gangguan bekalan berpanjangan.
Kedua-dua minyak mentah penanda aras West Texas Intermediate (WTI) dan Brent melambung lebih 15 peratus ketika pasaran dibuka petang semalam, mencapai paras tidak pernah dilihat sejak awal pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Bagaimanapun, Presiden Donald Trump menepis lonjakan itu sebagai ‘harga kecil yag perlu dibayar’ bagi menghapuskan ancaman nuklear Iran sambil menambah, kenaikan adalah sementara.
“Harga minyak jangka pendek, yang akan jatuh semula dengan pantas apabila ancaman nuklear Iran dihapuskan. Ini harga yang sangat kecil untuk dibayar demi keselamatan dan keamanan Amerika Syarikat serta dunia,” katanya di laman Truth Social semalam.
“HANYA ORANG BODOH AKAN BERFIKIR SEBALIKNYA!,” tambah Trump.
Trafik maritim di Selat Hormuz yang menjadi laluan 20 peratus minyak mentah dan gas global, hampir terhenti sejak perang bermula pada 28 Februari lalu.
Sementara itu, negara-negara pengeluar minyak dan gas di Teluk mula mengurangkan pengeluaran masing-masing, manakala serangan Israel ke atas depoh bahan api di Tehran menimbulkan kebimbangan serangan balas ke atas infrastruktur negara jiran.
Kenaikan harga minyak mentah itu diterjemahkan kepada peningkatan harga petrol di Amerika Syarikat, isu politik yang sangat sensitif menjelang pilihan raya pertengahan penggal pa














