PETALING JAYA – Perdana Menteri menyeru seluruh masyarakat di negara ini menghargai peranan dan sumbangan besar wanita serta memberikan mereka ruang yang adil untuk menyumbang kepada kemajuan negara.
Ini kerana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, wanita adalah nadi kekuatan keluarga serta tiang seri masyarakat dan penggerak penting kemajuan negara.
“Di sebalik keluarga yang utuh dan masyarakat yang sejahtera, terserlah pengorbanan, ketabahan serta kebijaksanaan wanita yang tidak pernah jemu mencurahkan kasih sayang demi masa depan yang lebih baik,”katanya dalam satu hantaran di laman Facebook sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini.
Pada hantaran sama, beliau secara peribadi amat menghargai segala pengorbanan wanita dalam kehidupannya sendiri.
“Khususnya kepada Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anak yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, kesabaran dan dukungan sepanjang perjalanan perjuangan ini.
“Sesungguhnya, kekuatan yang sama juga terpancar daripada jutaan wanita di seluruh negara, para ibu, isteri, anak, pendidik, penjaga dan pemimpin masyarakat yang setiap hari berjuang dalam senyap demi keluarga dan negara tercinta.
“Kalian adalah kekuatan, harapan dan masa depan negara,”kata Perdana Menteri.-KOSMO! ONLINE














