fbpx
Dr. Dzulkefly (tengah) meninjau kerja-kerja pembinaan tempat letak kereta bertingkat ketika melakukan lawatan kerja ke HSB, Alor Setar hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Parkir bertingkat HSB dijangka siap hujung bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Isu kekurangan parkir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bakal selesai apabila projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat di situ dijangka siap pada hujung bulan depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kemudahan yang melibatkan kos RM13.96 juta itu merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi menambah baik prasarana di hospital kerajaan yang mempunyai jumlah pengunjung tinggi setiap hari.

“Kemudahan parkir bertingkat ini menyediakan 500 petak parkir berbumbung dan 400 petak terbuka yang dijangka siap mengikut jadual iaitu pada 30 April sebelum dibuka sepenuhnya kepada pengunjung.

“Tempat letak kereta baharu ini diyakini dapat mengurangkan masalah kesesakan yang sering berlaku di kawasan hospital ini selain memberi keselesaan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke HSB di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, kementerian sentiasa meneliti keperluan untuk menaik taraf kemudahan di hospital kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

“Selain itu kementerian turut menyalurkan peruntukan pembangunan HSB dari 2023 hingga 2025 sebanyak RM6.93 juta melibatkan 63 projek keseluruhan,” ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, katanya, kementerian turut menambah peralatan makmal invasif kardiologi (ICL) di HSB yang bernilai RM22.5 juta dalam usaha mengurangkan tempoh menunggu pesakit jantung yang menerima prosedur di situ.

“Ini adalah ICL kedua di HSB yang tentunya dapat mengurangkan masa menunggu pesakit yang ingin melakukan prosedur di hospital ini sehingga 50 peratus. Pihak hospital ini komited dalam melaksanakan perkara itu termasuk dengan kehadiran enam doktor pakar dalam rawatan jantung ini.

“Kita juga berharap dengan pembangunan dan perkembangan baharu di HSB ini, hospital ini akan menjadi rujukan utama di utara ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN