KUALA LUMPUR – Seramai 725 pelajar diraikan dalam Majlis Bacaan al-Quran 30 Juzuk serta Hari Apresiasi Peningkatan al-Quran dan Hafazan anjuran Hatimurni, bersempena sambutan Nuzul al-Quran.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu turut menghimpunkan kira-kira 1,500 ibu bapa dan ahli keluarga, yang hadir bagi memberikan sokongan kepada anak-anak mereka yang menunjukkan peningkatan dalam bacaan al-Quran dan hafazan.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ustaz Syed Fahmi Akmal Syed Isa, wakil daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), yang turut menyampaikan ucapan perasmian serta menghargai usaha berterusan Hatimurni dalam memperkukuhkan pendidikan al-Quran dalam kalangan generasi muda.
Program ini dianjurkan dengan beberapa objektif utama, antaranya untuk menyambut peristiwa Nuzul al-Quran, meraikan pencapaian para pelajar dalam bacaan dan hafazan al-Quran, serta melaksanakan bacaan al-Quran 30 juzuk secara berjemaah sebagai simbol kecintaan terhadap kitab suci umat Islam.

Selain itu, majlis turut diselitkan dengan bacaan doa selamat khusus buat para pelajar Hatimurni Online yang berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE), agar mereka sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT.
Menurut Pengasas Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni, antara perjuangan utama Hatimurni adalah untuk menjadi rakan strategik kepada ibu bapa dalam memberikan pendidikan agama yang kukuh kepada anak-anak.
“Hatimurni percaya bahawa pendidikan al-Quran bukan sekadar membaca atau menghafaz, tetapi ia adalah asas penting untuk membina akidah yang kukuh, akhlak yang baik dan kefahaman agama yang jelas dalam diri anak-anak.
“Perjuangan Hatimurni adalah untuk terus membantu meningkatkan pengetahuan agama dalam kalangan generasi muda serta mengukuhkan pegangan mereka melalui pendidikan yang berteraskan akidah dan akhlak,” katanya.
Tambah Siti Khadijah, dalam era digital masa kini, anak-anak sangat mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh luar yang boleh memberi kesan kepada cara berfikir, akidah serta akhlak mereka.
Sementara itu, majlis ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada para pelajar, malah turut menjadi inspirasi kepada ibu bapa dan masyarakat untuk terus memartabatkan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan.
Hatimurni komited untuk terus melahirkan generasi yang bukan sahaja mampu membaca dan menghafaz al-Quran, tetapi juga memahami serta menghayati nilai-nilai yang terkandung di dalamnya. – KOSMO! ONLINE














