MENJELANG Aidilfitri, ramai wanita berhasrat untuk tampil lebih berseri pada pagi Syawal.
Saat takbir bergema dan kunjungan bermula, mereka mahu kelihatan segar, kemas dan yakin, seindah busana yang digayakan.
Namun, bagi sesetengah individu, terutama yang sibuk dengan kerjaya dan keluarga, hasrat itu kerap terhenti setakat niat. Solekan harian hanya ala kadar, cukup untuk nampak kemas tanpa memahami teknik dan asas yang betul.
Begitu juga pengalaman Nur Niswah Hasina Mohammad Amin yang jarang bersolek dan tidak pernah mengikuti kelas solekan formal sebelum ini.
Baginya, belajar sendiri melalui media sosial sudah memadai meskipun kadangkala timbul rasa kurang yakin dengan hasil sentuhan sendiri.
Segalanya berubah apabila pencarian ringkas di TikTok membawanya kepada kelas solekan khas untuk raya, ditawarkan pada harga berpatutan sekitar RM100 satu sesi.
“Lumrah di Aidilfitri, semua ingin tampil berbusana baharu dan menyerlah. Bagi saya, penampilan akan lebih lengkap apabila dipadankan dengan solekan yang tepat, lebih-lebih lagi apabila tiba masa untuk bergambar bersama keluarga pada pagi Syawal.
“Selama ini saya hanya belajar melalui influencer di TikTok tetapi saya sedar tidak semua teknik yang dikongsi benar-benar sesuai dengan bentuk muka saya.
“Sebab itu saya memilih untuk mengikuti kelas solekan, supaya saya lebih memahami teknik yang betul untuk tampil berseri dan yakin pada pagi raya,” katanya kepada CitaRasa.
Nur Niswah Hasina merupakan antara peserta kelas mekap raya atau ‘raya makeup class’ yang dianjurkan oleh Enzy Makeup Studio di Bangi, Selangor sepanjang bulan Ramadan.
Menjelang Hari Raya, banyak pihak tampil menganjurkan kelas solekan dan mendapat sambutan hangat masyarakat masa kini.
Bagi Nur Niswah Hasina, kelas fizikal yang dilakukan secara berhadapan menjadi tarikan apabila memberi peluang untuk dirinya belajar terus secara langsung daripada bimbingan pakar solekan.
“Kelas secara berdepan lebih memudahkan saya memahami tunjuk ajar. Apabila saya lihat ada harga semurah RM100, saya terus menempah slot sebelum penuh,” katanya.
Dalam kelas itu, pelajar diajar menata rias muka dari asas termasuk teknik penyediaan muka yang betul sebelum solekan. Peserta turut dipandu dalam solekan mata, penggunaan berus dan langkah-langkah solekan sistematik.
Semua teknik bersifat praktikal, mudah diikuti dan sesuai untuk semua peringkat umur.
Semua produk seperti penjagaan kulit, pelembap, pelindung matahari dan primer disediakan dalam kelas, namun peserta boleh membawa produk sendiri mengikut jenis kulit.

Konsep kelas mekap raya yang diketengahkan adalah soft glam supaya solekan kelihatan elegan tetapi tidak terlalu bold. Soft glam menekankan solekan mata dengan eyeliner atau winged eyeliner, manakala bibir dipadankan dengan warna lembut seperti soft pink.
Teknik ini menonjolkan wajah tetapi masih sesuai untuk Hari Raya.
Bagi memadankan solekan dengan pelbagai pakaian, peserta turut diajar memilih warna selamat seperti rich brown atau nada bumi.
Warna ini mudah digayakan dengan semua jenis baju raya, membolehkan peserta yang kurang berani mencuba warna terang tetap kelihatan cantik.
Menurut jurusolek dan pengajar, Norniena Hanie Jalaludin, kelas yang dipromosikan melalui TikTok berjaya menarik minat ramai peserta sehingga hampir semua slot terisi seminggu sebelum Ramadan.
“Ini kali kedua saya anjurkan kelas mekap raya dan sambutannya menggalakkan. Kelas diadakan enam sesi dengan setiap sesi menampung 20-25 peserta.
“Tahun ini, saya juga sertakan hijab styling dengan dua pilihan gaya, moden dan klasik, mengikut cita rasa dan penampilan baju raya peserta,” katanya.
Norniena Hanie menekankan teknik penyediaan kulit amat penting kerana kesilapan boleh menyebabkan solekan cepat luntur atau tidak melekat sempurna di Hari Raya.
Wanita disyorkan membawa kipas kecil untuk mengeringkan muka sebelum touch-up bagi memastikan penampilan kemas sepanjang hari.
“Cabaran utama Hari Raya ialah cuaca panas dan aktiviti luar yang menyebabkan peluh, seterusnya solekan mudah luntur.
“Sekiranya peserta tidak melakukan penyediaan kulit sebelum foundation atau tidak tahu teknik touch-up, keadaan solekan akan lebih teruk,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah di Kuantan, Pahang, Siti Nur Ain Abdul Rashid, 31, lebih selesa mengikuti kelas mekap raya yang dibuat secara individu oleh jurusolek berpengalaman.
Ia bagi mendapatkan fokus khusus terhadap jenis kulit, warna dan teknik yang sesuai tanpa rasa segan seperti dalam kelas berkumpulan.
Wanita itu sebelum ini bersolek sendiri tetapi sering menghadapi masalah solekan cepat retak dan tidak tahan lama.
“Saya belajar mengenal pasti jenis kulit kombinasi, penggunaan serum khusus untuk solekan berbanding serum biasa serta teknik contour yang sesuai untuk kulit berminyak.
“Selepas kelas, saya lebih yakin bersolek pada pagi raya tanpa risau solekan cepat rosak atau perlu diperbetulkan berulang kali,” katanya.
Kelas individu disediakan oleh jurusolek berpengalaman sembilan tahun, Nuraisha Naziha Nasri, dijalankan di studio kecil kediamannya di Kuantan dengan tempoh dua hingga dua setengah jam setiap sesi.
Sepanjang Ramadan, kelas ditawarkan pada harga promosi RM150 berbanding harga biasa RM250 untuk menarik lebih ramai peserta.
Penurunan harga mendadak bagi kelas one to one itu menyebabkan khidmatnya mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar-pelajar universiti sekitar Kuantan serta suri rumah.
Uniknya, Nuraisha Naziha menggalakkan pelajar membawa produk sendiri supaya mereka belajar menggunakan barangan sedia ada.
“Dengan cara ini, pelajar tidak perlu membeli produk baru semata-mata untuk kelas, malah pengajar boleh tunjuk teknik betul menggunakan produk mereka sendiri.
“Pendekatan ini membantu pelajar kenal pasti produk yang sesuai dengan kulit dan gaya solekan mereka, sekali gus mengelakkan pembaziran,” katanya.














