fbpx
SUDUT NIlam diwujudkan sebagai sudut bacaan yang menempatkan buku ilmiah, majalah dan kisah teladan.

Garapan segar ‘kopi minimalis’ bilik darjah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAIK melangkah masuk ke ruang kelas tersebut, hiasan dalamannya pasti mengingatkan para pelajar kepada suasana sebuah kafe yang tenang dan tersusun rapi.

Palet warna coklat pekat kopi yang dipadankan dengan putih serta sentuhan gelap seperti hitam membentuk latar moden dan bersih, menjadikan ruang kelihatan cerah tanpa terasa suram.

Susunan meja dan kerusi teratur dengan laluan tengah yang jelas memperlihatkan disiplin ruang yang kemas dan terancang.

Hiasan seperti pokok hidup dan bunga kecil pula menjadi sentuhan lembut yang menyegarkan, menghidupkan ruang tanpa menenggelamkan fungsi utamanya sebagai tempat menimba ilmu.

Pendekatan minimalis diterapkan dengan cermat melalui pengurangan barangan yang tidak perlu agar persekitaran kekal lapang dan teratur.

Dekorasi kelas tingkatan 1 Zamrud, Sekolah Menengah Kebangsaan Rapat Setia, Ipoh, Perak, itu merupakan hasil kreativiti guru kelasnya, Muhammad Za Fauzan Husin.

Menurut guru berusia 36 tahun, ruang pembelajaran yang efektif tidak memerlukan elemen berlebihan, sebaliknya cukup dengan keseimbangan warna, tekstur dan susun atur yang menyokong keselesaan serta fokus murid.

PALET warna coklat pekat kopi yang dipadankan bersama rona putih dan hitam serta langsir jenis pejabat menjadikan bilik darjah lebih moden dan segar.

“Dekorasi kelas bukan sekadar mencantikkan ruang, tetapi memberi impak besar terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.

“Hiasan yang dirancang bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran yang selesa dan nyaman kepada murid serta guru.

“Selain itu, dekorasi kelas juga berperanan membentuk karakter murid supaya lebih berdisiplin, bertanggungjawab serta peka terhadap kebersihan dan keceriaan persekitaran.

“Murid dididik untuk menjaga ruang kelas sebagai sebahagian daripada pembentukan sahsiah diri,” katanya kepada CitaRasa.

Beberapa elemen hiasan telah ditambah bagi menyokong konsep ‘kopi minimalis’ yang dipilih.

Antaranya tirai jenis pejabat digunakan bagi memastikan pencahayaan terkawal serta kelihatan lebih kemas berbanding menggunakan langsir biasa.

Sudut Nilam diwujudkan sebagai sudut bacaan yang menempatkan buku ilmiah, majalah dan kisah teladan.

Ruang tersebut dilengkapi rak buku, karpet rumput hijau serta hiasan seperti ikan laga dan pokok hidup.

Elemen ini bukan sahaja mencantikkan ruang, malah melatih murid menjaga kebersihan, menyiram pokok dan membersihkan kawasan secara berkala.

POKOK hidup di sesetengah sudut membangkitkan kesegaran ruang.

Pada bahagian meja murid, plastik pelindung digunakan dan nota ringkas mata pelajaran serta nama murid diletakkan sebagai rujukan tambahan.

Di bahagian papan kenyataan, bahan yang mudah diganti digunakan supaya sentiasa relevan dengan pembelajaran semasa.

Selain itu, anugerah mingguan untuk kelas paling ceria dan bersih mengikut kategori menengah rendah dan menengah atas mendorong murid berusaha dengan lebih berdedikasi.

Kongsi guru yang sudah berkhidmat selama 13 tahun itu lagi, tempoh yang diambil untuk menyiapkan dekorasi adalah sekitar satu hingga dua bulan, bermula sebelum sesi persekolahan baharu.

“Dua minggu sebelum mereka masuk sekolah, saya sudah mula merancang tentang tata hias yang ingin dilakukan ke atas bilik darjah tersebut dan membeli barangan keperluan.

“Kemudian apabila kelas bermula, saya memulakan proses mengecat semula kelas yang dilakukan bersama murid serta ibu bapa yang sudi membantu.

“Anggaran kos keseluruhan dekorasi adalah sekitar RM1,300 yang merangkumi perbelanjaan saya sendiri serta sumbangan ibu bapa,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN