SAYA menghabiskan tiga hari menjelajah Greece, bermula di Athens sebelum meneruskan perjalanan ke Santorini dan Mykonos.
Perjalanan ini bermula dari London dengan penerbangan Aegean Airlines, melibatkan transit panjang selama 16 jam di Athens sebelum tiba ke pulau utama.
Tiket penerbangan pergi dan balik bagi laluan London–Santorini dan Mykonos–London dibeli dua bulan lebih awal pada harga RM2,051.
Pada hari pertama, saya tiba di Lapangan Terbang Athens sekitar pukul 5 pagi.
Selepas berehat seketika, saya menaiki bas X95 ke kawasan Acropolis pada pukul 8.30 pagi dengan tambang €5.50 (RM27.50).
Walaupun bas merupakan pilihan lebih menjimatkan, jarak berjalan kaki selepas turun agak jauh, hampir 30 minit.
Keadaan ini menjadikan perkhidmatan tren sebagai pilihan yang lebih sesuai bagi pelancong yang ingin bergerak dengan lebih selesa.
Setibanya di kawasan Acropolis, barisan pengunjung yang panjang menyukarkan kemasukan ke tapak bersejarah tersebut.

Saya memilih untuk bergambar dari kawasan Areopagus Hill yang terletak di bahagian bawah.
Kawasan berbatu ini memerlukan langkah berhati-hati kerana permukaannya agak licin.
Pada sebelah petang, saya kembali ke lapangan terbang dengan menaiki tren dari Monastiraki Square dengan tambang €9 (RM45).
Kawasan ini dikelilingi kedai cenderamata dan beberapa tapak bersejarah seperti Ancient Agora of Athens.
Penerbangan ke Santorini berlepas pada pukul 7.20 malam dan saya tiba sekitar pukul 9.15 malam.
Setibanya di Santorini, saya memilih untuk menyewa kereta terus di lapangan terbang tanpa tempahan awal berikutan kos perkhidmatan e-hailing yang tinggi.
Kereta disewa daripada syarikat tempatan pada harga €120 (RM600) termasuk insurans penuh untuk tempoh tiga hari dua malam.
Penginapan selama dua malam di Santorini pula menelan kos €67 (RM335).
Pada hari kedua, saya memulakan hari dengan menikmati hidangan di Khan Brothers Restaurant, sebuah restoran Muslim halal milik warga Pakistan yang tidak menjual minuman beralkohol.
Saya memilih hidangan ikan berharga €18 (RM90).

Lawatan diteruskan ke Oia, kawasan ikonik Santorini yang terkenal dengan pemandangan Three Blue Domes.
Kawasan berbukit ini memerlukan pergerakan naik turun tangga dan saya meluangkan sekitar dua hingga tiga jam meneroka persekitarannya.
Menjelang petang, saya singgah di Imerovigli untuk menikmati pemandangan matahari terbenam dari Pearl Restaurant.
Pada hari ketiga, saya memulangkan kereta sewa di lapangan terbang kerana perkhidmatan sewaan satu hala tidak disediakan.
Saya kemudian membeli tiket pengangkutan ke Athinios Ferry Port pada harga €40 (RM200).
Saya bernasib baik kerana memperoleh tiket feri ke Mykonos pada pukul 10 pagi dengan harga €89.20 (RM446).
Perjalanan feri mengambil masa hampir tiga jam sebelum tiba di Mykonos sekitar pukul 1 tengah hari.
Suasana di Mykonos didapati lebih tenang berbanding Santorini.
Namun, penginapan pertama yang ditempah ditutup tanpa notis, menyebabkan saya terpaksa mencari alternatif.
Dengan bantuan penduduk tempatan, saya akhirnya memperoleh penginapan di Mykonos Town atau Chora pada harga €47 (RM235) untuk satu malam.
Kawasan ini hanya mempunyai laluan pejalan kaki, namun kedudukannya strategik dan membolehkan saya berjalan kaki ke tarikan utama seperti Little Venice, kincir angin ikonik dan Panagia Paraportiani.
Pada keesokan harinya, saya menaiki bas ke Lapangan Terbang Mykonos













