PETALING JAYA – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan terdapat perubahan pada jadual operasi tren terakhir Laluan Putrajaya pada hari ini dan esok bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan.
Rapid Rail berkata, langkah itu adalah susulan insiden kecurian kabel bekalan kuasa yang telah menjejaskan operasi perkhidmatan.
“Sejak insiden itu dikesan pada 3 Mac lalu, pasukan teknikal Rapid Rail telah digerakkan sepenuhnya untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang terjejas bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan dengan selamat dan stabil.
“Bagi mempercepatkan kerja baik pulih, tempoh kejuruteraan pada waktu malam Sabtu dan Ahad akan dipanjangkan bagi memberi ruang tambahan kepada pasukan teknikal untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan semula kabel, pengujian sistem serta pemeriksaan keselamatan pada infrastruktur yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rapid Rail berkata, perubahan jadual akan melibatkan tren terakhir dari Stesen Putrajaya Sentral menghala ke Kwasa Damansara ditamatkan di Stesen Metro Prima.
“Tren terakhir dari Stesen Putrajaya Sentral pada hari ini ialah pukul 11.35 malam manakala pada esok ialah pada pukul 11.05 malam.
“Sementara itu, bas percuma akan disediakan dengan kekerapan 15 ke 20 minit di Stesen Metro Prima ke Stesen Kwasa Damansara,” katanya.
Selain itu, penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Kwasa Damansara juga boleh menggunakan Laluan Kajang sebagai laluan alternatif.
“Perubahan ini hanya melibatkan jadual operasi tren terakhir dari Stesen Putrajaya Sentral menghala ke Stesen Kwasa Damansara.
“Perkhidmatan tren dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral kekal beroperasi seperti biasa tanpa sebarang perubahan,” katanya.
Katanya, langkah ini diambil bagi mempercepatkan proses pemulihan infrastruktur yang terjejas supaya operasi perkhidmatan Laluan Putrajaya dapat kembali berjalan seperti biasa dalam tempoh terdekat.
“Penumpang dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.
“Rapid Rail menghargai kesabaran serta kerjasama para penumpang sepanjang tempoh kerja-kerja baik pulih ini dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














