SELAYANG – Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) makin parah apabila tewas 0-2 kepada Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Ia adalah kekalahan keempat berturut-turut dialami skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan kini hanya mampu meraih 15 mata daripada 19 perlawanan, berkelebihan empat mata daripada zon penyingirkan.
Terdahulu, kedua-dua pasukan dihidangkan peluang terbaik untuk membuka jaringan namun tiada penyudah berkualiti mampu dihasilkan untuk memaksa 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan.
Kira-kira empat minit selepas aksi bersambung, KTRW FC mampu menarik nafas lega apabila percubaan Shervoni Mabatshoev sekadar singgah di palang gol.
Bagaimanapun, lapan minit selepas itu kem Terengganu FC akhirnya ceria apabila Gervane Kastaneer meledak gol pertama perlawanan.
Mengambil kira jumlah peluang yang lebih banyak, skuad Peteh sepatutnya mampu menghasilkan lebih banyak jaringan namun sering dikecewakan oleh aspek penyudah tumpul.
Misi memburu jaringan tambahan Terengganu FC akhirnya terlerai pada masa kecederaan babak kedua apabila Mabatshoev tenang menyempurnakan sepakan penalti. – KOSMO! ONLINE














