MENCIPTA gerakan lebih berkualiti menjadi keutamaan buat Negeri Sembilan FC (NSFC) yang bakal melayan kunjungan Penang FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam esok.
Pemangku ketua jurulatih NSFC, K. Rajan berkata, dua posisi tengah dan serangan menjadi perkara penting yang harus ditambah baik lagi.
“Untuk perlawanan seterusnya, kami kena tingkatkan lagi posisi tengah pasukan, seterusnya sentuhan penyudah jentera serangan.
“Kami mencipta banyak peluang (ketika menentang Sabah) tetapi tidak mampu untuk mengakhirinya dengan jaringan. Jadi kami kena bekerja keras dalam latihan bagi perbaiki semua aspek ini,” katanya.
Rentetan beberapa aksi kurang baik sebelum ini, Nidzam Jamil membuat keputusan berani apabila meletakkan jawatannya sebagai ketua jurulatih NSFC.
Ia menyaksikan Rajan dipilih menggalas tanggungjawab selaku jurulatih interim sehingga makluman selanjutnya.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus juga menjelaskan kelab itu turut melihat langkah jangka panjang, bukan sahaja mengembangkan bakat muda tetapi membangunkan jurulatih tempatan bertaraf tinggi bagi memperkukuhkan pasukan berkenaan pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE














