KUALA LUMPUR – Sering dihentam teruk ketika berniaga menerusi sesi siaran langsung dalam media sosial, pelakon Fattah Amin berharap netizen terutama ‘haters’ menggunakan sedikit pertimbangan dan akal sebelum melemparkan kata-kata negatif terhadap dirinya serta isteri, Amira Othman.
Ujar Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 36, ruang siaran langsung tersebut sepatutnya dimanfaatkan untuk berniaga dan berinteraksi bersama peminat, bukannya menjadi medan melepaskan kata-kata tidak wajar.
“Seperti berlaku baru-baru ini, ketika saya sedang membuat siaran langsung untuk menjual produk dan mencari rezeki, tiba-tiba muncul komen tidak sepatutnya.
“Kebanyakannya pula datang daripada akaun palsu. Jadi saya hanya menasihatkan mereka supaya faham tujuan siaran langsung tersebut.
“Ruang itu untuk berniaga dan berinteraksi dengan pelanggan serta peminat, bukannya tempat menulis perkara buruk. Kalau mahu bercakap negatif, carilah ruang lain,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bintang drama Hero Seorang Cinderella itu, teguran dibuat secara terus terang agar mesej tersebut difahami semua pihak, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.
“Saya bercakap secara terus supaya orang faham. Tambahan pula dalam bulan Ramadan, sepatutnya kita menjaga kata-kata dan hanya menuturkan perkara baik.
“Ada masa kita perlu bercakap secara jelas. Kalau terlalu berkias, ada pula yang tidak faham maksud sebenar.
“Namun jika masih ada menggunakan akaun palsu untuk menulis perkara negatif, itu terpulang kepada mereka. Hal tersebut antara mereka dengan Tuhan. Kita hanya mampu menasihatkan sebaik mungkin,” ujarnya.
Bapa satu anak itu turut mengingatkan setiap perbuatan manusia tidak terlepas daripada pengawasan Tuhan, sekali gus mengajak masyarakat lebih berhati-hati dalam berkata-kata.
“Setiap perbuatan sebenarnya diperhatikan. Allah Maha Melihat. Sebab itu kita perlu berhati-hati dengan setiap kata dilontarkan.
“Sebagai manusia biasa, kadang-kadang kami juga terasa dengan kata-kata orang. Namun apa yang mampu dilakukan hanyalah bersabar,” luahnya pada sidang media Program Raya Astro 2026 di sini, semalam.
Paling penting katanya, dia sering menasihati isterinya supaya tidak terlalu memikirkan kata-kata negatif segelintir individu tidak bertanggungjawab.
“Saya selalu berpesan kepada Amira supaya bersabar. Allah menyukai hamba-Nya yang sabar. Kita tidak perlu membalas perkara buruk dengan keburukan.
“Selagi kita melakukan perkara baik dan tidak membalas dengan perkara negatif, itu sudah memadai. Jika ada perkara melampaui batas, mungkin ada tindakan undang-undang boleh diambil.
“Namun setakat ini Amira tidak sampai menangis atau mengadu berlebihan. Dia manusia biasa seperti saya, kadang-kadang terasa juga, tetapi akhirnya kami reda dan berserah kepada Allah,” kongsinya.
Terdahulu, Fattah dilihat menegur segelintir individu yang cuba menyebarkan aura negatif setiap kali dia dan Amira melakukan siaran langsung dalam media sosial.
Dia secara lantang menegur mana-mana pihak yang berhasrat menulis sesuatu tidak baik supaya menukar niat tersebut kepada perkara lebih positif. – KOSMO! ONLINE














