MELAKA – Insiden pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Balai Polis Meru, Klang pada Isnin lalu disifatkan sebagai kes terpencil dan tiada keperluan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di balai polis dinilai semula.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakaman yang tular di media sosial tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku, malah tiada sebarang serangan di balai polis seperti didakwa.
“Cerita sebenar berbeza dengan sebahagian hantaran di media sosial yang mendakwa sekumpulan lelaki menyerang balai polis.
“Hakikatnya, dua kumpulan bergaduh di luar balai dan daripada pergaduhan itu satu kumpulan masuk ke balai polis untuk membuat laporan tetapi pihak satu lagi kemudian turut masuk bagi menghalang laporan dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Majlis Iftar Jabatan Imigresen Malaysia 2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh pada Khamis.
Ujarnya lagi, susulan pergaduhan itu, anggota polis yang terlatih bertindak menenangkan semua individu terlibat bagi mengawal keadaan.
“Ini hanyalah satu kes terpencil dan kita tidak boleh menilai keseluruhan tahap keselamatan balai polis hanya berdasarkan satu insiden.
“Kita mempunyai garis panduan seperti Inspector-General of Police Standing Orders (IGPSO) yang menjadi rujukan kepada semua balai polis di negara ini,” jelasnya.
Kosmo! hari ini melaporkan perebutan kawasan sekuriti di tapak perumahan menjadi motif kekecohan dan pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki di Balai Polis Meru, Kapar dekat sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kesemua suspek terlibat mengenali satu sama lain dan terlibat dalam geng kongsi gelap.
Katanya, lapan suspek yang terlibat berusia 28 hingga 41 tahun tersebut ditahan dalam tiga operasi berasingan dengan direman sehingga esok dan lusa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148, 427 dan 324 Kanun Keseksaan selain Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958. – KOSMO! ONLINE














