fbpx
Hamzah bercakap kepada pemberita di Madrasah Hafizah Sg. Bayor di Selama hari ini.

Saya Ketua Pembangkang, boleh bertemu sesiapa sahaja – Hamzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LARUT – Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan beliau bebas untuk bertemu dengan sesiapa sahaja memandangkan dirinya masih bergelar Ketua Pembangkang.

Katanya, dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau telah mengkhianati Bersatu ekoran tindakannya bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak berasas.

“Ini saya nak bagitahu, saya Ketua Pembangkang. Saya nak jumpa Anthony Loke, boleh? Saya Ketua Pembangkang, dia Menteri.

“Saya ketua Pembangkang, nak jumpa Timbalan Perdana Menteri, boleh? Dia (Muhyiddin) takut apa? Takkanlah Ahmad Zahid boleh jatuhkan dia sebagai Presiden parti?

“Itu hanya alasan untuk pecat saya dari parti. Jadi bagi saya tak payahlah cerita panjang-panjang. Ini macam budak-budaklah,” katanya kepada pemberita di Madrasah Hafizah Sg. Bayor, Selama hari ini.

Terdahulu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Larut menghadiri majlis penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau di parlimen berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamzah berkata, perbincangannya dengan Parti Keluarga Malaysia (PKM) telah mencapai tahap 90 peratus, namun enggan mengesahkan sama ada beliau akan menyertai parti berkenaan atau sebaliknya.

“Kita masih perlu menilai beberapa perkara, antaranya tujuan parti itu ditubuhkan dan sama ada matlamatnya selari dengan pendirian serta perjuangan saya. Semua itu perlu difikirkan dengan teliti dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa.

“Sebab itulah saya katakan proses ini mungkin memerlukan sedikit masa, walaupun pada masa ini perbincangan dengan parti tersebut sudah berada pada peringkat yang sangat hampir kepada keputusan,” katanya.

Beliau turut berkata, PKM juga bukanlah satu-satunya parti yang ditemui beliau.

“Saya ingin maklumkan bahawa saya bukan bertemu dengan PKM sahaja, sebaliknya telah dijemput untuk bertemu dengan beberapa parti lain. Pada akhirnya, kita akan membuat keputusan yang terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI