LONDON – Pengurus Manchester United, Michael Carrick mengakui ‘terluka’ apabila mengalami kekalahan sulungnya selaku pengendali sementara ketika tunduk 1-2 kepada Newcastle United di St. James Park awal pagi semalam.
Walaupun memiliki kelebihan seorang pemain sepanjang babak kedua, Carrick nyata kecewa kerana anak-anak buahnya gagal memanfaatkan peluang dan kredit perlu diberikan kepada The Magpies.
“Kami tidak gembira dengan cara kami bermain. Kami tahu perlawanan ini akan jadi sukar, namun tidak mampu menjadikan permainan kali ini lebih baik dan berpihak kepada kami.
“Saya tidak fikir (Newcastle bermain) 10 orang, sebaliknya kami tidak bermain dengan baik. Kami tidak boleh beri alasan dan semua perlu ambil tanggungjawab ini,” katanya.
Newcastle terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Jacob Ramsey dilayangkan kad merah pada minit ke-45+1, namun tuan rumah masih berjaya mendahulu hasil jaringan Anthony Gordon berselang lima minit kemudian.
United kembali bangkit menyamakan kedudukan di babak kedua, namun hasrat mengutip sekurang-kurangnya satu mata tidak kesampaian apabila William Osula meledak jaringan kemenangan Newcastle di penghujung perlawanan.
Bagaimanapun, Carrick menjelaskan fokus utama The Red Devils sekarang adalah cuba menempatkan pasukan dalam kelompok lima terbaik.
“Kami tewas sekali tetapi daripada sudut pandang lebih luas, kami berada di kedudukan baik. Amat menyakitkan apabila tewas, namun kami kena balas kekecewaan ini pada perlawanan akan datang,” katanya. AGENSI














