fbpx
Mesin layan diri yang menyediakan pek makanan sedia untuk dimakan mendapat sambutan mengalakkan khususnya dalam kalangan pelajar. (Gambar kecil: Muhammad Faaiz)

Pelajar paling ramai terima manfaat makanan percuma di vending machine Masjid Seksyen 7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Inisiatif menyediakan makanan percuma menerusi vending machine atau mesin layan diri di Masjid Seksyen 7 di sini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat khususnya golongan pelajar.

Pengurus Masjid Seksyen 7, Muhammad Faaiz Hamzah berkata, inisiatif yang diperkenalkan pada Mac tahun lalu itu merupakan salah satu usaha pihaknya untuk membantu golongan asnaf dan pelajar kurang berkemampuan di kawasan tersebut.

Katanya, idea penyediaan mesin layan diri makanan percuma itu tercetus hasil perbincangan pihak pengurusan masjid bersama Yayasan Budi Ihsan selepas melihat keperluan membantu individu yang terpaksa berjimat untuk mendapatkan makanan.
“Sebelum ini, pihak masjid menyediakan konsep ‘food bank’ (bank makanan) yang menempatkan barangan asas seperti beras, kicap, sos dan tepung untuk diambil oleh mereka yang memerlukan.

“Namun apabila melihat keperluan yang semakin pelbagai, inisiatif tersebut ditambah baik dengan memperkenalkan mesin layan diri yang menyediakan pek makanan sedia dimakan supaya penerima dapat memperoleh dengan lebih cepat dan mudah,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurut beliau, sambutan terhadap kemudahan itu amat baik apabila ramai penerima yang benar-benar memanfaatkan bantuan tersebut. Majoriti mereka yang datang ialah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Dalam masa sama, ramai penyumbang tampil memberi sokongan bagi memastikan inisiatif tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.

Jelasnya, bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar, sistem penggunaan nombor pin diperkenalkan kepada penerima melalui ahli jawatankuasa (AJK) yang dilantik selepas semakan dilakukan terhadap latar belakang pemohon.

“Kami juga mendapatkan data pelajar asnaf daripada UiTM. Setiap nombor pin mempunyai had penggunaan tertentu dan direkodkan dalam sistem bagi memastikan ketelusan selain mengelakkan sebarang salah guna,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pengurusan Masjid Seksyen 7 tampil dengan inisiatif kebajikan apabila menyediakan mesin layan diri makanan percuma khusus kepada golongan asnaf serta pelajar memerlukan.

Lebih menarik, mesin tersebut turut dilengkapi stesen pemanas dengan beberapa unit gelombang ketuhar bagi membolehkan penerima menikmati makanan dalam keadaan panas dan lebih selesa.

Dalam hantaran yang dimuat naik di akaun Thread Masjid Seksyen 7, idea tersebut digerakkan bagi memastikan bantuan makanan dapat diberi secara lebih tersusun, pantas dan menjaga maruah penerima. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN