KUALA LUMPUR – Pelakon Nabila Huda percaya bapanya yang juga penyanyi legenda rock tanah air, Datuk Amy Search sepatutnya memainkan peranan bagi menyelesaikan kemelut antara mereka ketika ini.
Bukan mengalah, Nabila, 41, berkata, dia sudah melakukan pelbagai usaha untuk berdamai namun masih menemui jalan buntu.
“Soal untuk berdamai atau mencari jalan penyelesaian, saya rasa lebih baik tanya pihak sana. Saya sudah banyak kali jawab pertanyaan ini.
“Setakat ini memang tiada jalan penyelesaian. Mungkin sebagai ketua keluarga dan seorang ayah, dia yang perlu selesaikan apa yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui pada majlis Together Gather anjuran Viu Malaysia, di sini semalam.
Dalam pada itu, dia yang juga seorang ibu mengakui tidak sanggup membayangkan perasaan melalui fasa perpisahan dengan seorang lelaki bernama bapa.
“Kalau saya berada di tempatnya (Amy), kehilangan anak dan tidak dapat berjumpa, saya sendiri tak mampu teruskan hidup seperti biasa.
“Saya takkan gembira, kerana itu darah daging saya. Tapi saya tak tahu apa yang dia rasa tetapi mungkin dia rasa yang sama, cuma tak tahu bagaimana untuk bertindak..
“Saya juga seorang ibu dan memang tak sanggup nak berpisah dengan anak sendiri, Keisha Laila, tapi tak tahulah kalau dia pun rasa benda begitu,” ujarnya.
Tambahnya, tiada cara lain yang mampu dilakukan selain berdoa agar Tuhan membuka jalan dan mempermudahkan segala kesulitan dalam meleraikan segala kemelut.
“Pada Ramadan kali ini, saya sudah tidak merindui sesiapa. Saya dah ‘move forward’. Kerinduan yang pernah saya luahkan sebelum ini dalam media sosial disebabkan rasa sangat rindu pada waktu itu.
“Ada perkara yang saya ternampak dan memang ‘trigger’ perasaan rindu tersebut tapi sekarang saya sudah ‘move on’ dan penat berfikir serta bercakap perkara sama berulang kali.
“Namun, tidak salah kalau sekali-sekala saya terasa sebab manusia biasa, ada perasaan sedih gembira dan marah,” jelasnya.
Ditanya tentang kehidupan kini, dia kini lebih selesa memberi fokus kepada kehidupan bersama suami dan anaknya.
“Sekarang saya bahagia dengan kehidupan sederhana saya. Tentang doa pula, memang setiap hari saya lakukan lebih-lebih lagi ketika Ramadan dan Syawal cuma masih belum dimakbulkan.
“Jadi, apa yang boleh saya buat hanyalah senyum dan teruskan hidup. Kalau kita berpanjangan dalam kesedihan, kasihan keluarga yang ada di depan mata.
“Doa saya cuma satu, supaya hidup saya ini benar-benar bahagia dan lengkap. Sekarang saya bahagia, cuma mungkin ada sedikit kekosongan tetapi jika terisi, mungkin kebahagiaan itu akan jadi berbeza,” ujarnya lagi.
Nabila menambah, dia enggan meletakkan sebarang harapan dengan segala yang berlaku kerana masih belum melihat sebarang bayangan akan berakhir dengan indah.
“Tapi saya sendiri tak dapat bayangkan kerana belum sampai ke tahap itu. Mungkin satu hari nanti ‘puzzle’ itu lengkap atau sebaliknya.
“Kalau kekosongan itu sempat diisi sebelum saya menutup mata, alhamdulillah. Kalau tidak, mungkin kami akan bertemu di kehidupan lain — saya hanya mampu berdoa,” kongsinya.
Terdahulu, sejak tahun lalu hubungan Abil dan Amy didakwa kembali renggang akibat konflik kekeluargaan. – KOSMO! ONLINE














