PETALING JAYA – Pengarah Ladang Farm Fresh Berhad, Jacob Mathan disahkan maut selepas helikopter yang dinaikinya terhempas di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina, semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee berkata, mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 7.20 pagi ketika dalam perjalanan menaiki helikopter ke sebuah tapak ladang berpotensi di negara berkenaan.
Menurutnya, penerbangan yang pada awalnya dijangka sebagai perjalanan biasa bertukar menjadi tragedi apabila helikopter tersebut mengalami masalah enjin.
“Saya masih sukar memproses kejadian ini walaupun beberapa jam selepas dimaklumkan mengenai pemergiannya.
“Ketua Pegawai Eksekutif kami di Filipina, Shawn turut cedera namun syukur beliau kini berada dalam keadaan stabil. Marilah kita semua mendoakan kekuatan dan ketabahan buat isteri Jacob, Amy serta keluarga mereka, dan juga agar Shawn segera pulih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan dua kakitangan Farm Fresh terlibat dalam kemalangan nahas helikopter jenis Bell 505 yang terhempas di Barangay Quisao, Pililla.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal, mengesahkan perkara berkenaan.
Menurut Tuan Ee, Jacob merupakan individu penting dan amat dihargai dalam keluarga Farm Fresh selepas berkhidmat bersama syarikat itu sejak lebih sedekad lalu.
“Jacob menyertai Farm Fresh sebagai pelatih universiti 13 tahun lalu. Saya masih ingat hari pertama beliau menyertai saya di Ladang Mawai.
“Beliau menunjukkan rasa tanggungjawab tinggi, keinginan belajar yang besar dan yang paling penting, seorang yang benar-benar baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE














