PETALING JAYA – Pasukan Penang FC mengesahkan status pilihan untuk ke final Piala Cabaran selepas menewaskan Kelantan The Real Warriors (TRW) 5-2 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Harimau Kumbang selaku pelawat bermula garang apabila mendahului 3-0 seawal 14 minit pertama hasil jaringan pantas Stefano Brundo (minit ke-2), Douglas De Souza (m-4) dan Jose Porteria (m-14)
Tersentak dengan kerakusan pasukan lawan, KTRW memperkemaskan jentera serangan sebelum berjaya merapatkan kedudukan menjadi 3-2 menerusi jaringan Mohamad Azwan Mohd Aripin (m-22) dan Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik (m-38).
Bersambung pada babak kedua, KTRW memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi sepakan penalti yang diambil Albert Kang pada minit ke-67 berjaya diselamatkan penjaga gol Penang, Ramadhan Hamid.
Ketika ghairah melakukan asakan, Penang pula melebarkan kelebihan gol selepas Nur Shamie Iszuan Amin menyudahkan hantaran lintang Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-85.
Skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail membawa pulang bekalan lebih selesa apabila Wenzel-Halls menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan dengan keputusan 5-2 kekal hingga wisel penamat.
Aksi separuh akhir kedua dijadualkan berlangsung di Stadium Bandaraya pada 11 Mac depan. – KOSMO! ONLINE














