PETALING JAYA – Sebuah kereta api yang membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi berdepan detik cemas apabila ia dilaporkan mengalami masalah brek tidak berfungsi dalam kejadian pagi tadi.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh Ahli Parlimen Tenom, Jamawi Jaafar di laman Facebook, beliau memaklumkan bahawa laporan mengenai insiden tersebut telah diterimanya.
Dalam hantaran sama, beliau turut berkongsi rakaman video yang memaparkan detik cemas ketika kereta api berkenaan bergerak laju sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan penumpang.
Menurutnya, tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan beberapa barangan seperti troli dan motosikal di atas landasan berjaya memperlahankan dan seterusnya menghentikan kereta api berkenaan daripada terus bergerak tanpa kawalan.
“Saya mendapat maklumat berlakunya kejadian masalah ‘brek gagal berfungsi’ pada keretapi yang membawa guru-guru SK Pangi, Tenom pada pagi tadi.
“Tindakan pantas beberapa penduduk kampung yang meletakkan troli, motorsikal di landasan berjaya menghentikan keretapi tersebut,” katanya.
Beliau dalam masa sama memohon pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah menjalankan siasatan penuh berhubung kejadian itu serta mengambil langkah segera bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Selain itu, beliau turut menggesa Jabatan Kerja Raya mempercepatkan pelaksanaan projek jalan raya Tenom–Pangi yang difahamkan telah diluluskan oleh Ketua Menteri Sabah pada awal tahun 2025.- KOSMO! ONLINE














