MANCHESTER – Manchester United kembali membuktikan status sebenar pasukan itu apabila melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Crystal Palace 2-1 di Old Trafford kelmarin.
Meskipun ketinggalan 0-1 seawal minit keempat menerusi jaringan Maxence Lacroix, namun skuad The Red Devils mempamerkan kebangkitan dengan meledak dua gol hasil jaringan Bruno Fernandes dan Benjamin Sesko.
Pengurus sementara United, Michael Carrick menyuarakan rasa gembira apabila dapat menyaksikan pasukan itu kembali berada dalam kelompok tiga pasukan teratas buat kali pertama sejak Mei 2023.
“Ia merupakan sesuatu yang sangat baik. Tempat ini (Old Trafford) memberi makna yang cukup besar kepada saya dan sekarang semua peminat seronok untuk datang dan menyaksikan perlawanan United.
“Saya fikir kredit harus diberikan kepada semua pemain kerana tidak semuanya datang daripada saya. Saya dapat rasakan hubungan dengan penyokong kembali kukuh dan mereka tidak putus memberikan sokongan,” katanya.
Sementara itu, beliau juga memuji aksi dipamerkan Sesko sepanjang perlawanan tersebut, lebih-lebih lagi pemain Slovenia itu sudah berjaya meledak tiga gol dalam tiga perlawanan terakhir.
“Saya sangat gembira untuk Ben (Sesko). Dia membawa impak yang cukup besar dalam pasukan selain menunjukkan banyak peningkatan dalam beberapa perlawanan terakhir, jadi ia sesuatu yang positif,” ujar Carrick. – AGENSI














