PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui kedudukan No. 2 dalam saingan Liga Super boleh ‘tergadai’ jika pasukan gagal mempamerkan prestasi konsisten pada baki enam perlawanan musim ini.
Sebagai rekod, status naib juara dianggap sebagai slot automatik ke kejohanan Asia musim depan menjadi rebutan antara Gergasi Merah yang berkongsi 36 mata dengan Kuala Lumpur City FC (KL City), manakala Kuching City FC dibezakan dua mata di kedudukan keempat.
Pan-gon menganggap keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Melaka FC minggu lalu sangat mengecewakan dan pemain perlu segera cari jalan penyelesaian untuk atas masalah tersebut.
“Kalau kita mahu layak berada di tempat kedua liga ini, perlawanan seperti ini wajib kita menang.
“Sejujurnya, saya rasa Selangor belum berada pada tahap itu (terus konsisten). Kita belum cukup kuat dan perlu bekerja lebih keras.
“Kadang-kadang kita bermain sangat baik dan boleh menang besar, tetapi ada ketika tidak menjadi.
“Jika lihat keseluruhan musim, kita selalu tidak konsisten. Kalau mahu jadi pasukan lebih bagus, itu perkara utama yang perlu diperbaiki,” katanya.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu turut menjangka saingan sengit daripada KL City dan The Cats sehingga penghujung musim nanti.
“Setiap baki perlawanan sekarang adalah final. Perlumbaan tempat kedua tidak mudah kerana pasukan lain juga mahukannya,” katanya.














