KUALA LUMPUR – Kementerian Luar giat memantau keselamatan lebih 29,112 rakyat Malaysia yang berada di negara yang terjejas konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebahagian rakyat Malaysia yang berada di kawasan tersebut merupakan golongan pekerja, pelancong dan jemaah umrah.
Katanya, penutupan ruang udara serta gangguan penerbangan menjejaskan pergerakan mereka dan menimbulkan kebimbangan keselamatan.
“Kerajaan sentiasa bersiap siaga untuk memberikan bantuan sewajarnya melalui kedutaan dan konsulat di negara terlibat termasuk memudahkan proses pemulangan rakyat Malaysia yang memerlukan.
“Sebagai kerajaan kita bertanggungjawab memelihara dan menjamin keselamatan rakyat Malaysia supaya keberadaan mereka di sana dapat dijamin,” katanya ketika memberi penerangan mengenai situasi keselamatan di Iran dan Rantau Timur di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurut Anwar, nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza juga tidak dilupakan.
“Sebaik perperangan meletus atau serangan dari Israel dimulakan maka pintu masuk Rafah ditutup di bulan Ramadan ini menyebabkan bantuan makanan, perubatan terbantut dan keadaan mereka sudah tentu jauh lebih gawat.
“Semalam, misi bantuan kemanusiaan Sumud Darat dengan 30 kontena besar membawa 374 tan bahan makanan dan kit kebersihan ke Gaza dilancarkan sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia.
“Sumud Darat menandakan komitmen kita. Saya bangga anak-anak kita tidak lentur semangat untuk mempertahankan hak, maruah dan kelangsungan hidup rakyat Palestin.
“Pelancaran Sumud Darat juga membuktikan solidariti rakyat melangkaui kaum, agama dan latar belakang politik. Kita konsisten untuk berdiri teguh mempertahankan hak rakyat Palestin dan dalam keadaan sekarang membantu meringankan beban hidup akibat kezaliman rejim Zionis Israel,” katanya. – KOSMO! ONLINE.






