TEL AVIV – Sebuah peluru berpandu Iran mencetuskan kerosakan besar pada 40 bangunan di Tel Aviv, demikian menurut pihak berkuasa perbandaran seperti laporan laman berita Al Mayadeen semalam.
Menurut majlis perbandaran, kira-kira 200 peneroka haram Yahudi terpaksa meninggalkan bangunan yang rosak dan ditempatkan di tiga hotel di serata Tel Aviv.
Saluran berita tempatan, Channel 12 melaporkan bahawa serangan misil itu turut mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Mengulas kejadian itu, tentera Israel berkata, peluru berpandu tersebut membawa beratus-ratus kilogram bahan letupan.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah perang yang semakin sengit susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, yang mana Iran berikrar bertindak balas.
Terdahulu semalam, penempatan haram Yahudi Beit Shemesh dekat Baitulmuqaddis menyaksikan kemusnahan meluas susulan serangan peluru berpandu Iran.
Laman web Israel, Walla! memetik seorang pegawai tentera Israel sebagai berkata: “Kita akan menghadapi hari-hari yang sukar dan mencabar.”
Rejim Zionis mengenakan sekatan ketat selepas tindak balas Iran, di mana tentera Israel menguatkuasakan penapisan media dan memberi amaran kepada rakyatnya agar tidak menerbitkan video menunjukkan kerosakan atau mendedahkan lokasi yang menjadi sasaran serangan.
Selain itu, pihak berkuasa Israel juga melaporkan kerosakan meluas di Tel Aviv.
Menurut media Israel, kira-kira 200 bangunan rosak di Tel Aviv akibat serangan peluru berpandu terbaharu Iran. Siren serangan udara turut berbunyi di seluruh kawasan tengah, Haifa dan Krayot, serta di utara dan kota Baitulmuqaddis. – AGENSI














