TOKYO – Seorang pegawai polis berusia 52 tahun di Jepun dipecat kerana berkelakuan tidak senonoh termasuk merakam gambar mayat wanita yang tidak berpakaian secara rahsia, lapor portal berita Must Share News.
Suspek yang berpangkat sarjan di Balai Polis Ayase, Tokyo, didakwa menggunakan telefon pintarnya untuk merakam gambar 20 mayat wanita yang meninggal dunia.
Semua mayat itu dirakam semasa menjalani pengecaman di tiga bilik mayat Balai Polis Ayase.
Dia turut membawa pulang data termasuk 500 imej yang dikumpul antara tahun 2009 hingga 2022, lapor portal berita Japan News.
Suspek diberkas pada September tahun lalu selepas cuba merakam gambar bawah kain seorang pelajar perempuan di sebuah stesen kereta api.
Penyiasat menemukan beberapa imej haram termasuk yang memaparkan bahagian cedera pada mayat semasa pemeriksaan di kediaman suspek di wilayah Saitama.
Polis berkata, tiada bukti bahawa gambar-gambar itu dikongsikan kepada umum. – AGENSI














