fbpx
JDT sentiasa konsisten meraih mata di peringkat Asia sejak 2019 sekali gus meningkatkan mata MA buat Malaysia.

Tak boleh harap JDT sahaja – Garcia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM usaha mengukuhkan slot wakil negara dalam kancah pertandingan kelab Asia, Malaysia memerlukan lebih banyak pasukan yang kuat bersaing pada aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bagi meningkatkan ranking ‘member association’ (MA).

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia menyuarakan kebimbangan kedudukan MA Malaysia bakal tergugat sekiranya hanya bergantung kepada skuad Harimau Selatan menyumbang majoriti mata.

Beliau berpendapat, slot untuk mewakili negara dalam kelayakan kejohanan kelab Asia mungkin berdepan risiko sekiranya pasukan-pasukan lain dari Malaysia tidak menjadi penyumbang mata MA itu.

“Ia sentiasa menjadi satu penghormatan untuk bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE). Satu pencapaian yang diraih secara konsisten oleh JDT sejak 2019 dan setiap perlawanan sentiasa mencabar kemampuan kelab.

“Ini merupakan tahap yang kami mahukan pada setiap musim tetapi kami tidak pasti berapa lamakah kedudukan MA Malaysia mampu bertahan sekiranya hanya JDT yang menyumbang majoriti mata,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook JOHOR Southern Tigers.

Tambah bekas pemain kebangsaan Sepanyol dan Liverpool itu, walaupun JDT sentiasa mengutip banyak mata menerusi kelayakan ke pusingan 16 terbaik ACLE tetapi mata itu dijumlahkan dan dibahagikan dengan jumlah pasukan dari Malaysia yang bertanding di Asia.

Beliau percaya Malaysia mampu memberikan cabaran kepada Australia dan China bagi mendapatkan lebih banyak slot di pentas Asia, sekali gus memerlukan lebih banyak wakil yang kuat dalam saingan ACL2.

“Kita sebenarnya memiliki potensi untuk mencabar Australia dan China bagi mendapatkan lebih banyak slot. Kita memerlukan penyertaan pasukan lebih kuat dalam ACL2 bagi menaikkan kedudukan MA Malaysia,” ujar Garcia.

Sementara itu, berdasarkan ranking pertengahan musim pertandingan kelab Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2025/26, Malaysia menghuni tangga ke-11 ketika ini apabila mengumpul 41.434 mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN