PETALING JAYA – Melaka FC jadi pasukan kedua yang mengecewakan Kim Pan-gon selepas terikat seri tanpa jaringan pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, Melaka yang dikendalikan oleh E. Elavarasan bermula garang apabila melakukan percubaan awal tetapi rembatan Dino Kalesic sedikit tersasar.
Skuad Sang Kancil selaku tuan rumah terus garang menguji benteng pelawat dengan melakukan asakan menerusi Kalesic dan Sharel Fikri Fauzi tetapi diselamatkan penjaga gol Gergasi Merah, Kalamullah Al Hafiz.
Bersambung pada babak kedua, giliran Selangor pula menggandakan asakan dengan Faisal Halim dan Chrigor Moraes memiliki peluang keemasan tetapi gagal menerjah jaring.
Keputusan 0-0 kekal hingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Melaka FC jadi pasukan kedua selepas Terengganu FC (TFC) yang menyekat Pan-gon daripada melakar kemenangan sejak jadi jurulatih Selangor pada Januari lepas.
Sementara itu, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah turut merekodkan keputusan seri 1-1 pada debut pertama jurulatih baharu, Juan Torres Garrido ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) sebentar tadi.
Gol Sabah dijaringkan oleh S Kumaahran manakala skuad Hobin Jang Hobin mendapat gol hasil penyudah Jovan Motika. – KOSMO! ONLINEI














