PETALING JAYA – Orang ramai yang beratur di bazar Ramadan petang ini berdepan detik cemas apabila sistem pembayaran menggunakan kod QR dilaporkan tidak berfungsi di beberapa lokasi.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook berkata, situasi itu menyukarkan urusan pembelian juadah berbuka berikutan ia berlaku ketika pengguna beratur membeli makanan.
Katanya, ada pelanggan yang terpaksa menunggu lama untuk membeli martabak dan ayam golek, namun terkejut apabila aplikasi perbankan memaparkan notis ‘system unavailable’.
“Allahuakhbar, dugaan betul petang ini! Buat anda yang tengah tersangkut dekat bazar Ramadan sebab sistem QR tengah ‘down’ merata tempat sekarang, tarik nafas panjang-panjang.
“Jangan panik dan tolong jangan marah abang jual air balang. Dia pun tengah pening garu kepala tak tahu nak buat apa sebab pelanggan sudah beratur panjang,” katanya.
PHM berkata, orang ramai disaran supaya bertenang dan mencari alternatif lain termasuk menggunakan wang tunai, berkongsi wang bersama rakan atau berbincang dengan peniaga untuk membuat pembayaran selepas sistem kembali pulih.
Tambahnya, situasi tersebut wajar dianggap sebagai ujian kesabaran sepanjang Ramadan yang bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, malah mengawal emosi ketika berdepan gangguan teknologi. – KOSMO! ONLINE














