KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima bayaran zakat berjumlah RM5,417,188.56 daripada lapan syarikat korporat dan dua individu kepada Zakat Perak Al-Ridzuan (Zapar) di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini hari ini.
Zapar dalam kenyataannya berkata, penyerahan zakat didahului dengan zakat pendapatan oleh Datuk Abdullah Abdul Mannan berjumlah RM1,000,000 diikuti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang diwakili Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berjumlah RM364,852.56.
“Turut berbuat demikian Belati yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Mohamad Akmal Johari berjumlah RM380,000,” katanya hari ini.
Selain itu, Boustead Plantations Berhad diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Zulkarnain Md. Eusope yang menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM434,000 diikuti CelcomDigi Berhad yang diwakili Ketua Wilayah, Wilayah Utara, Farizad Khan Msm Mohamed Ali sebanyak RM107,000.
Selain itu, Johawaki Plantation Sdn. Bhd. yang diwakili Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Johawaki, Abdul Hadi Abdul Rahim menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM150,800.
“Selanjutnya penyerahan zakat perniagaan Lembaga Jurukur Tanah Malaysia yang diwakili Setiausaha Lembaganya, Mohd. Riza Halim berjumlah RM250,000 dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM200,000,” katanya.
Penyerahan zakat pendapatan seterusnya daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berjumlah RM2,300,000 dan terakhir TM Technology Services Sdn. Bhd. yang diwakili Pengurus Besar Rangkaian TM Negeri Perak, Sallehuddin Khalif berjumlah RM230,536.
“Sultan Perak berkenan menyerahkan zakat kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














