BEIRUT – Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam menegaskan negaranya enggan terlibat dalam perang selepas Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran.
Pihak berkuasa bimbang kumpulan Hezbollah yang disokong Iran akan terlibat dalam konflik itu, yang menyaksikan AS dan Israel mengebom Iran sebelum Tehran bertindak balas dengan serangan peluru berpandu.
Sebelum operasi bermula, Israel mengumumkan ia melancarkan serangan ke atas infrastruktur Hezbollah di selatan Lubnan.
“Saya tegaskan semula bahawa kami tidak akan menerima sesiapa sahaja yang mengheret negara ini ke dalam pengembaraan yang mengancam keselamatan dan perpaduannya.
“Dengan perkembangan serius yang berlaku di rantau ini, saya sekali lagi menyeru semua rakyat Lubnan untuk bertindak dengan bijak dan patriotik, meletakkan kepentingan Lubnan dan rakyat dalam sebarang pertimbangan,”kata Salam di platform X.
Salam menyatakan bahawa kerajaannya sedang menjalin hubungan diplomatik untuk mengelakkan sebarang kesan daripada konflik itu.
Sebagai tindak balas kepada serangan AS dan Israel, Iran melancarkan peluru berpandu ke Israel dan beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan atau pasukan Washington.
Kementerian Luar Lubnan mengutuk serangan peluru berpandu Iran ke atas negara-negara Teluk.
Sementara itu, kebanyakan syarikat penerbangan membatalkan penerbangan mereka ke beberapa lapangan terbang di Asia Barat termasuk Beirut.
Salam menekankan bahawa lapangan terbang Beirut kekal dibuka dan syarikat penerbangan nasional akan terus menyediakan perkhidmatan penerbangannya seperti biasa. – AFP














