PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Dr. Malar Santhi turut terkesan dengan tindakan seorang lelaki yang memijak kitab suci al-Quran baru-baru ini.
Menurut Dr. Malar atau nama lengkapnya Malar Santhi Santherasegapan, 43, lelaki itu tidak layak untuk dimaafkan di atas perbuatan yang melampau dan menggugat keharmonian rakyat Malaysia.
“Tiada maaf untuk spesis yang tak layak digelar manusia ini. Apa yg dia buat bukan ‘ter’. Dia memang sengaja. Tak nak dia minta maaf. Tak nak maafkan dia,” tulisnya dalam Threads.
Dr. Malar turut mencadang beberapa jenis hukuman yang setimpal untuk dikenakan kepada lelaki tersebut.
“Cadangan hukuman, buang negeri (Pahang). Negeri lain nak buang silakanlah ya. Kami orang Pahang memang jijik dengan spesis macam ni. Selangor pun tolong buang. Sebab saya duduk di Selangor sekarang. Kalau nak lebih ekstrim, rasa nak suruh lucut kewarganegaraan sahaja,” tulisnya.
Tambahnya lagi, antara cadangan lain adalah mengenakan hukuman penjara untuk tempoh yang lama dan juga hukuman sebatan.
Terdahulu kecoh apabila seorang penuntut universiti tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berunsur agama, kaum dan institusi diraja (3R) dalam media sosial.
Penuntut lelaki berusia 21 tahun itu direman selama empat hari sehingga hari ini mengikut Seksyen 298 kanun keseksaan kerana melakukan tindakan menghina agama lain.
Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. – KOSMO! ONLINE














