fbpx
Asyraf ketika menyantuni dua waris mangsa kebakaran di Raub hari ini.

Adik Balia ditawar belajar ke MRSM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dua beradik yang merupakan anak mangsa kebakaran di Raub, Pahang menerima khabar gembira apabila dijadikan anak angkat Majlis Amanah Rakyat (Mara) sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka.

Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau berkesempatan bertemu dengan Ruby Adalia Balqis, 19, dan adiknya, Ahmad Balia Murqam, 15, pagi tadi bagi melihat sendiri keadaan mereka selepas tragedi menyayat hati tersebut.

Beliau bersyukur kerana kedua-dua pelajar itu semakin stabil dan kuat berbanding hari kejadian.

“Saya sempat bertanyakan tentang pelajaran, cita-cita dan minat mereka. Dalam kesedihan yang masih bersisa, masih ada sinar harapan dalam hati anak-anak ini.

“Mereka bersetuju untuk dijadikan anak angkat Mara dan insya-Allah kita akan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, Ruby yang mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan di Kolej Matrikulasi Pahang menyatakan hasrat untuk menjadi guru dan bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan beliau dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk membantu menyusun laluan terbaik bagi merealisasikan impian tersebut.

Ahmad Balia yang meminati bidang keusahawanan akan ditawarkan menyambung pengajian di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong dalam aliran teknikal.

“Alhamdulillah, beliau bersetuju. Sebagai anak angkat Mara, kita akan memastikan kebajikan, pendidikan dan pembangunan sahsiah mereka dipantau rapi supaya masa depan mereka tidak terjejas walau sedikit pun akibat tragedi ini,” ujarnya.

Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau lokasi kebakaran yang meragut nyawa lima beranak tersebut dan menyifatkan tragedi tersebut sebagai amat menyentuh hati.

“Saya tegaskan mereka tidak keseorangan. Mara dan seluruh rakyat Malaysia amat prihatin serta akan terus mendoakan kesejahteraan dan kejayaan mereka. Daripada ujian berat ini akan lahir kekuatan luar biasa.

“Semoga Allah SWT memelihara dan mempermudahkan urusan kedua-dua pelajar ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN