PETALING JAYA – Ringgit Malaysia melonjak ke paras lebih kukuh apabila kadar pertukaran asing menunjukkan 1 dolar Amerika Syarikat (AS$1) bersamaan sekitar RM3.891 malam ini.
Berdasarkan data semasa XE Converter, perkembangan ini meletakkan ringgit di bawah paras psikologi RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat, sekali gus menjadi antara pencapaian terbaik mata wang tempatan dalam tempoh terdekat.
Pengukuhan ini dilihat memberi sentimen positif kepada pasaran, khususnya dalam sektor import, pelancongan dan perniagaan antarabangsa yang berurusan menggunakan dolar AS.
Pemerhati ekonomi menjangkakan momentum ini bergantung kepada pergerakan indeks dolar AS, dasar kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) serta prestasi ekonomi domestik Malaysia dalam minggu-minggu mendatang.
Rakyat kini berharap trend pengukuhan ini mampu dikekalkan demi kestabilan harga barangan dan kos sara hidup. – KOSMO! ONLINE














