BOLEHKAH wanita haid makan makanan yang disediakan di masjid ketika bulan Ramadan?
JAWAPAN: ANTARA perkara yang diharamkan bagi orang dalam keadaan junub atau wanita haid adalah berada di dalam masjid.
Ini berdasarkan firman Allah SWT berikut: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar), kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi bersuci.” (Surah al-Nisa’, 43)
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa haid dianggap lebih berat daripada junub kerana ia melibatkan larangan-larangan yang lebih banyak termasuk melintasi masjid jika ada kemungkinan darah haid akan mencemari tempat tersebut.
Jika tiada risiko pencemaran, wanita yang sedang haid boleh melintasi masjid, namun hukumnya makruh, sama seperti orang junub.
Jika tempat iftar tersebut adalah kawasan masjid yang dilarang kepada wanita haid atau orang berjunub, maka diharamkan bagi golongan tersebut untuk duduk di dalam masjid dalam apa jua keadaan, meskipun mampu menjaga kesucian masjid.
Namun, jika kawasan tempat berbuka puasa itu bukan termasuk kawasan yang dilarang untuk wanita haid seperti kawasan tempat meletakkan kenderaan atau dewan jamuan berasingan dengan masjid, maka ia diharuskan.
Makanan yang disediakan untuk berbuka puasa secara umumnya adalah khusus untuk orang yang berpuasa.
Dalam konteks ini, jika seseorang memberi wang dengan tujuan tertentu seperti berbuka puasa, maka pemberian itu dianggap khusus untuk yang disebutkan.
Namun, jika pemberian itu hanya dilakukan secara biasa tanpa tujuan khusus, maka penerima wang tersebut bebas untuk menggunakannya mengikut kehendaknya.
Oleh itu, sekiranya tidak dapat dipastikan penderma akan meredai makanannya dimakan oleh orang tidak berpuasa, maka orang yang tidak berpuasa tidak dibenarkan mengambilnya.
Kesimpulannya, menjawab kepada persoalan diajukan, sekiranya wanita haid tidak tahu kepada siapa makanan tersebut dikhususkan, maka wajib kembali kepada hukum asal iaitu niat penderma hanya untuk orang berpuasa.
Oleh itu, orang yang tidak berpuasa tidak dibenarkan mengambil makanan disediakan.
Sebaiknya, wanita haid bertanya dengan penganjur iftar tersebut atau pihak masjid sebelum mengambil makanan disediakan.
Hal ini kerana berkemungkinan makanan disediakan melebihi kapasiti jemaah yang akan berbuka puasa.














