fbpx
DRB-HICOM. - Gambar hiasan

DRB-HICOM, Geno meterai MoC percepat blockchain teroka stablecoin ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) hari ini memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) bersama Geno Group Ltd. dan anak syarikatnya di Malaysia, Geno Edge (Malaysia) Sdn. Bhd. (Geno).

MoC itu dimeterai bagi mempercepatkan penggunaan teknologi rantaian blok (blockchain) perusahaan serta meneroka pembangunan stablecoin yang disandarkan kepada ringgit Malaysia.

DRB-HICOM dalam kenyataan hari ini berkata, kerjasama strategik itu bertujuan memperluaskan penggunaan penyelesaian blockchain merentasi perniagaan syarikatnya, meliputi sektor mobiliti, pembuatan dan servis automotif, pembiayaan, logistik, perbankan serta sektor perindustrian lain.

“Kerangka kolaborasi tersebut akan menyaksikan pelaksanaan berfasa penyelesaian blockchain Geno termasuk GenoChain, iaitu platform blockchain konsortium berasaskan kebenaran (permissioned), reka bentuk tokenomics dan kontrak pintar, selain keupayaan integrasi perusahaan.

“Dalam masa sama, kedua-dua pihak akan membangunkan infrastruktur bagi stablecoin yang disandarkan kepada ringgit Malaysia untuk diterbit dan dikendalikan dalam rangka kerja blockchain berasaskan kebenaran,” katanya.

DRB-HICOM berkata stablecoin tersebut pada peringkat awal dirancang untuk digunakan dalam ekosistem syarikatnya jika bersesuaian, sekali gus melibatkan peserta luar terpilih.

Menurutnya, inisiatif itu dijangka menyokong keperluan operasi seperti penyelesaian transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B) secara boleh atur cara dan penyelesaian digital berskala yang berpotensi diintegrasikan dengan sistem perbankan sedia ada serta infrastruktur pasaran kewangan Malaysia.

“Sebagai sebahagian daripada usaha penerokaan itu, pihak terlibat turut akan menilai kes penggunaan deposit bertoken yang diterbitkan oleh institusi perbankan berlesen serta potensi model penyelesaian antara bank, tertakluk kepada keperluan undang-undang dan kelulusan pihak berkuasa berkaitan,” ujarnya.

Katanya juga, inisiatif itu selaras dengan rangka kerja aset digital Malaysia yang sedang berkembang termasuk Hab Inovasi Aset Digital Bank Negara Malaysia yang bertujuan menggalakkan kolaborasi industri dalam pembayaran boleh atur cara, deposit bertoken dan inovasi penyelesaian digital lain.

“Bagi memastikan pelaksanaan yang tersusun dan mampan, satu Jawatankuasa Pemandu Bersama yang dianggotai wakil kedua-dua organisasi akan ditubuhkan untuk menyelia hala tuju strategik serta penyelarasan kawal selia.

“MoC tersebut meletakkan asas kukuh untuk penggunaan blockchain perusahaan secara lebih meluas serta merintis pembangunan stablecoin ringgit Malaysia berskala industri yang berteraskan ekonomi sebenar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN