LONDON – Bekas bos Red Bull, Christian Horner mendedahkan bahawa Max Verstappen bukan punca di sebalik pengunduran kontroversi dalam kancah perlumbaan Formula Satu (F1) musim lalu.
Horner, 52, meninggalkan peranannya sebagai Ketua Pasukan dan Ketua Pegawai Eksekutif Red Bull Racing musim panas lalu selepas berdepan isu serangan seksual dan kemerosotan prestasi pasukan yang berlarutan selama beberapa bulan.
Sebelum ini, bapa pemandu utama pasukan itu, Jos Verstappen secara terbuka mendakwa Horner sebagai punca ‘perpecahan’ dalam pasukan.
Bagaimanapun, dalam temu bual eksklusif menerusi siri Netflix Formula 1: Drive to Survive, Horner menepis dakwaan bahawa keluarga Verstappen menjadi dalang di sebalik punca menyebabkan pemecatannya.
“Bapanya (Jos) memang bukan peminat setia saya dan dia sangat vokal mengkritik saya, tetapi saya tidak percaya keluarga Verstappen bertanggungjawab dalam apa jua cara sekalipun (terhadap pemecatan ini),” kata Horner.
Horner yang menyertai Red Bull sejak 2005, mempunyai rekod luar biasa dengan memacu pasukan itu merangkul lapan gelaran dunia kategori pemandu dan enam gelaran kategori pengeluar.
Horner yang dilaporkan menerima pampasan sebanyak £52 juta (RM278.62 juta) secara terbuka menyalahkan Pengarah Urusan Red Bull, Oliver Mintzlaff serta penasihat pasukan, Helmut Marko.
“Saya fikir keputusan ini dibuat oleh Oliver Mintzlaff dengan nasihat daripada Helmut di belakang tabir. Akhirnya, banyak perkara berubah dalam struktur perniagaan kumpulan ini selepas kematian pengasasnya, Dietrich Mateschitz.
“Mungkin selepas ketiadaan Dietrich, saya dianggap mempunyai kuasa kawalan yang terlalu besar dalam pasukan,” tambah Horner lagi. – AGENSI














