fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

Peniaga lembu dijel 7 tahun, sebabkan kematian lelaki 10 tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang peniaga lembu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pindaan mencederakan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian seorang lelaki, 10 tahun lalu.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, M. Maheswaran, 40, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan pindaan, tertuduh didapati telah menyebabkan kematian S. Manikumar dengan niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematiannya.

Tertuduh melakukan kesalahan itu antara 10.30 malam pada 22 Mei 2016 hingga 9.50 pagi pada 23 Mei 2016 di kawasan hutan kelapa sawit berhampiran Empangan Jus, Selandar di Jasin.

Oleh itu tertuduh telah melakukan homisid salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh yang boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Berdasarkan fakta kes, Manikumar dilaporkan hilang oleh abangnya pada 23 Mei 2016 selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar pada kira-kira 10 malam 22 Mei 2016 dan mangsa sempat menghantar khidmat pesanan ringkas memaklumkan dia diserang beberapa lelaki.

Pada 18 Jun 2016, rangka Manikumar ditemukan di kawasan hutan kelapa sawit berhampiran Empangan Jus, Selandar, iaitu hampir sebulan selepas laporan kehilangan dibuat.

Hasil siasatan pihak polis, profil asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa dikesan pada sebilah parang yang dirampas daripada tertuduh yang digunakan untuk memukul si mati pada masa kejadian.

Terdahulu, Peguam Daniel Savarimuthu yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman terhadap anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh telah ditahan sejak 3 Mac 2022 dan mempunyai empat anak untuk disara.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh memandangkan kematian mangsa merupakan satu kehilangan kepada keluarganya.

Hakim Rohatul Akmar kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap semula iaitu pada 3 Mac 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN