fbpx
Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki memakai kostum ikan duyung di depan gerai air balang di Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Terima upah RM200, ‘duyung’ lelaki promosi air balang ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Seorang lelaki yang memakai kostum ikan duyung semasa mempromosikan air balang di depan sebuah gerai di Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini ditahan kelmarin.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) menahan lelaki berusia 24 tahun itu di kawasan rumahnya di Kampung Chetok, Pasir Mas dekat sini.

Menurutnya, pihak Jaheaik bagaimanapun membebaskan lelaki itu dengan bon jaminan selepas memberi keterangan.

“Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 19 dan 20 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan (1) 2019 kerana berpakaian seperti wanita dan perbuatan tidak sopan.

“Berdasarkan keterangannya, lelaki itu dipercayai menerima upah sebanyak RM200 daripada pemilik gerai air balang tersebut untuk menghasilkan video bertujuan mempromosikan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, lelaki itu bagaimanapun perlu hadir ke Jaheaik pada 8 Jun depan untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, siasatan mendapati, video yang memaparkan lelaki memakai kostum ikan duyung semasa mempromosikan air balang itu dipercayai dirakamkan sehari sebelum Ramadan.

“Video tersebut kemudian dimuat naik di laman sosial pada 1 Ramadan lalu,” katanya.

Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, Jaheaik akan memanggil seorang lelaki yang memakai kostum ikan duyung semasa mempromosikan air balang di depan sebuah gerai yang dipercayai di Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd. Asri Mat Daud berkata, perkara itu sudah dalam tindakan bahagian penguatkuasaan Jaheaik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya sudah menarik permit jualan air balang yang dijual oleh peniaga di gerai berkenaan.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan juga mengeluarkan kompaun kepada pemilik gerai berkenaan pada 22 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI