fbpx
Mayat Mohd. Asuad ditemukan di dasar Sungai Kedah di Alor Setar, tengah malam tadi.

‘Tak sangka abang kena sawan sampai jatuh sungai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – “Abang memang kerap diserang sawan sejak kebelakangan ini, cuma tidak sangka kali ini sampai jatuh dalam sungai.”

Demikian kata Nor Farah Abdul Rashid, 35, adik kepada Allahyarham Mohd. Asuad, 36, yang ditemukan lemas di Sungai Kedah, di sini tengah malam tadi.

Menurutnya, abangnya yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik menghidap penyakit itu dari kecil, namun serangan jarang berlaku sebelum menjadi semakin kerap sejak kebelakangan ini.
“Apabila diserang sawan, abang akan bertindak di luar kawalan iaitu berlari tanpa sedar. Pernah dalam tempoh sebulan arwah diserang sehingga tiga kali, terutama ketika cuaca panas.

“Tidak sangka malam tadi ketika diserang sawan, abang berlari menuju ke sungai sebelum ditemukan lemas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, lokasi kejadian terletak berdekatan sebuah kedai nasi kandar iaitu tempat kerja arwah.

“Abang memegang kad orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, namun dia sangat rajin bekerja. Kejadian ini amat mengejutkan kerana kami lapan beradik bersama keluarga sempat berkumpul dan makan bersama sempena menyambut Ramadan baru-baru ini.

“Tidak sangka abang pergi meninggalkan kami pada Ramadan ini dan menjelang Aidilfitri. Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan,” ujarnya.

Tambahnya, jenazah abangnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Seberang Pumpong, di sini selepas proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah selesai.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pekerja nasi kandar yang terjatuh ke dalam Sungai Kedah dipercayai akibat serangan sawan ditemukan lemas kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Mayat mangsa, Mohd. Asuad, dijumpai di dasar sungai pada jarak satu meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN