ALOR SETAR – Seorang pekerja nasi kandar yang terjatuh ke dalam Sungai Kedah, di sini dipercayai akibat serangan sawan ditemukan lemas, tengah malam tadi.
Mayat mangsa, Mohd. Asuad Abdul Rashid, 36, dijumpai di dasar sungai pada jarak satu meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd. Zain berkata, mayat mangsa ditemukan oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang membuat selaman di lokasi tersebut.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilaksanakan secara sistematik iaitu dimulakan dengan kaedah pusaran air menggunakan bot bagi menggerakkan dan menimbulkan mangsa ke permukaan.
“Selepas itu, operasi diteruskan dengan anggota membuat selaman pada jarak kira-kira 10 meter seterusnya empat meter dari tebing sungai,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa berjaya ditemukan di dasar sungai dengan kedalaman kira-kira empat meter dan pada jarak satu meter dari tempat dia dipercayai terjatuh pada pukul 12.30 tengah malam.
“Mayat mangsa seterusnya dinaikkan ke tebing dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, seorang saksi iaitu lelaki berusia 21 tahun memaklumkan melihat mangsa dari kedai nasi kandar menuju ke sungai sebelum terjatuh di situ sebelum dia menghubungi bomba dan polis untuk mendapatkan bantuan.
“Siasatan di tempat kejadian iaitu ke atas majikan mangsa iaitu wanita berusia 47 tahun memberitahu mangsa mengalami sawan sebelum tiba-tiba berlari ke arah sungai dan terjatuh ke dalam sungai tersebut, ” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pekerja sebuah kedai makan dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kedah, di sini dikatakan akibat serangan sawan malam tadi.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.15 malam. – KOSMO! ONLINE














