PETALING JAYA – Masuk sahaja bazar Ramadan, dua bau ini pasti menusuk hidung terlebih dahulu iaitu aroma minyak sapi dari kuali martabak dan haruman marjerin terbakar roti john.
Selalu orang ramai berdebat mana satu lebih sedap, namun kali ini persoalannya berbeza antara martabak dan roti john, siapa sebenarnya yang memegang takhta raja kalori paling mengarut?
Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), bagi martabak, hidangan berasaskan doh tepung, telur, daging atau ayam cincang serta bawang itu dianggarkan mengandungi sekitar 700 hingga 800 kalori sekeping.
“Doh martabak bertindak seperti span ketika ditebar dan digoreng kerana menyerap minyak masak atau minyak sapi dengan banyak. Bahagian luar kelihatan garing, namun lemak tepu tersembunyi di dalamnya,” kata PHM.
Sementara itu, roti john pula mengandungi roti panjang, marjerin, telur, daging cincang serta limpahan mayonis, sos keju dan sos cili mencatatkan anggaran 800 hingga melebihi 1,000 kalori sebiji.
“Roti john menang tanpa bertanding kalau bab kalori mengarut. Daging dan telur tu tak salah sangat. Yang menjadikannya bom jangka adalah marjerin tebal yang disapu pada roti, ditambah pula dengan semburan mayonis dan sos keju leleh yang melimpah ruah. Mayonis adalah lemak tulen!” katanya.
Kesimpulannya, roti john leleh dinobatkan sebagai raja kalori apabila sebiji roti john bersos penuh dianggarkan bersamaan kira-kira empat pinggan nasi putih kosong.
Namun begitu, orang ramai disaran berpada-pada dan bijak mengawal pengambilan supaya tidak menyesal apabila jarum penimbang melonjak selepas Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE














