MESKIPUN beberapa bulan telah berlalu, pemergian bonda tercinta nampaknya masih meninggalkan kesan mendalam dalam sanubari bintang vokal dari seberang, Raisa.
Suasana hiba tersebut jelas menyelubungi malam konsert Raisa Ambivert Tour yang berlangsung di Zepp KL, baru-baru ini.
Meskipun tampil anggun dalam persalinan rona ungu yang simbolik dengan keceriaan, namun setiap bait kata, gerak tubuh dan sorotan matanya tidak dapat menyembunyikan duka yang dipendam.
Sejak album Ambivert dilancarkan pada Jun 2025, ramai yang tidak menyedari kewujudan naskhah tersebut sebenarnya menyimpan seribu rahsia di sebalik pembikinannya.
Memulakan acara tersebut dengan lagu Semua Di Sini yang juga menjadi trek pembukaan dalam Ambivert membuktikan kualiti vokalnya mampu ‘merobek’ jiwa sesiapa sahaja walaupun berada dalam situasi tenang.
Usai menghabiskan dendangan pertama, Raisa sepertinya lega dan berpuas hati dengan tenaga yang diberikan peminat di Malaysia.
Memasuki segmen luahan rasa, pemilik nama lengkap Raisa Andriana sempat berkongsi isi suram kehidupannya sebelum mendendangkan lagu It’s Okay Not To Be Okay.

“Masa saya tulis lagu ini ‘mengalir’ (air mata) juga. Boleh terbayangkan ramai orang berada dalam fasa kehidupan yang berbeza. Semua orang pasti ada ‘struggle’ (kesukaran) sendiri dalam kehidupan. Tak kira di mana pun, walaupun mereka tidak mahu kita tahu apa yang dihadapi.
“Saya belajar daripada ibu, kedua orang tua saya mahir menyembunyikan masalah di hadapan anak-anak.
“Masa kecil saya tak pernah rasa kurang,” katanya sebelum melantunkan It’s Okay To Not To Be Okay.
Konsert diteruskan dengan nyanyian seleksi hits Pengganti Aku, Berpindah Hati, Si Paling Mahir, Ternyata Tanpamu, Terserah dan Tetap Bukan Kamu.
Apa yang menarik, wanita berusia 36 tahun itu memberikan nafas baharu terhadap susunan muzik lagu-lagu tersebut agar kedengaran lebih segar.
Paling mencuri tumpuan adalah keberaniannya membawakan lagu I’ll Be Waiting secara ‘acapella’ bersama tiga penyanyi latar, sekali gus memberikan dimensi berbeza daripada versi asal.
Kehadiran rakan duet, Barsena Bestandhi, menerusi lagu Awal Kisah Selamanya dan Bila turut melengkapkan malam tersebut dengan harmoni vokal yang cukup sempurna tanpa sebarang cacat cela.
Duet Awal Kisah Selamanya sememangnya dinanti-nantikan kerana mahu melihat duo itu secara langsung.

Sesi karaoke
“Selamat datang ke sesi karaoke, bermaksud saya menyanyi sikit dan kalian nyanyi banyak,” seloroh Raisa sebelum memulakan rangkaian lagu popularnya seperti Serba Salah, Mantan Terindah, Could It Be, Kali Kedua dan Usai Di Sini.
Ucapan tersebut menandakan Raisa bersedia meneruskan konsert dengan rantaian hits yang popular dalam kalangan peminat tegar.
Antara seleksi yang menjadi pilihan adalah Love & Let Go, Serba Salah, Tak Berharap Lagi, Mantan Terindah, Could It Be, Kali Kedua dan Usai Di Sini.
Barsena kembali ke pentas lagi sekali untuk menyampaikan lagu Percayalah melengkapkan acara tersebut.
Kali ini, Raisa lebih relaks saat meminta lagu pilihan peminat untuk dinyanyikan secara spontan.
Ini merupakan hadiah daripada Raisa untuk menghargai peminat yang tidak henti-henti menyokong perjalanan kariernya sehingga ke hari ini.
Menghampiri penghujung, suasana kembali hiba apabila Raisa menghadiahkan lagu yang baru dilancarkan pada hari sama bertajuk Kuharap Duka Ini Selamanya.
Lagu tersebut didedikasikan khas buat ibunya, Ria Mariaty Rachmat Ardiwinangoen yang menghembuskan nafas terakhir pada 29 November tahun lalu.
“Ibuku meninggal dunia pada November tahun lalu, semuanya rasa seperti tak boleh diluahkan. Lebih kurang satu tahun saya merawat ibu dan saat kejadian berlaku, saya tak bersedia untuk menghadapi kehilangan.
“Sejak itu saya berkenalan dengan rasa duka tapi luka ini tak ke mana-mana. Saya belajar cara untuk olah rasa duka,” jelasnya berkenaan lagu tersebut.
Meskipun cuba untuk kelihatan kuat di hadapan ribuan peminat, Raisa akhirnya gagal membendung rasa sebak di penghujung lagu. Jelas sekali, kerinduan terhadap sosok yang menjadi kekuatannya itu masih belum menemui titik noktah.

– SYAKIR RADIN














