fbpx
Hamiruddin (kiri) memeluk Ahmad ‘Adha ‘Amir selepas dilepas dan dibebaskan daripada 30 pertuduhan membuat tuntutan elaun dan dokumen palsu di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kota Bharu hari ini.

‘Sejak disiasat SPRM, saya dipulau orang kampung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – “Saya tertekan dan dipulau orang kampung selepas didakwa di mahkamah atas tuduhan menipu tuntutan elaun dan dokumen palsu. Keputusan mahkamah hari ini membersihkan nama saya di mata masyarakat.”

Demikian luahan Hamiruddin Kasim, 46, yang merupakan Penyelia Rancangan Tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada 30 tuduhan membuat tuntutan elaun dan mengemukakan dokumen palsu berjumlah RM2,936.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Hamiruddin.

“Setelah mendengar hujahan kedua-dua belah pihak dan membuat penilaian maksimum, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.

Mengikut 15 pertuduhan, Hamiruddin sebagai Penyelia Rancangan Tanah G19 di Pejabat Rancangan Felda Chiku 7 didakwa memberikan Pembantu Tadbir Kanan N22, Hassan Ibrahim dan Mohd. Muazam Shah Ahmad@Khalid secara e-mel dokumen berhubung Laporan Bulanan Program Gated Community mengandungi nama Redhuan Abdul Rashid, 46, bagi Tuntutan Elaun Gated Community.

Tindakan itu secara prinsipal mempunyai kepentingan dan mengandungi butir matan palsu iaitu Redhuan tidak hadir bertugas dan tidak menerima elaun tersebut kerana berhenti menyertai Program Gated Community bermula Februari 2016.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Rancangan Felda Chiku 7, Gua Musang bermula 6 Mac 2017 hingga 5 Jun 2018.

Hamiruddin didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000 mengikut yang lebih tinggi.

Bagi 15 lagi pertuduhan pilihan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu Laporan Bulanan Program Gated Community yang mengandungi tuntutan Elaun Gated Community berjumlah RM2,936 atas nama Redhuan sebagai peserta Program Gated Community yang diketahui bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di lokasi dan tarikh yang sama.

Mengikut kesemua pertuduhan pilihan itu, Hamiruddin didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yakob dan Mariah Omar manakala Hamiruddin diwakili peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.

Hamiruddin ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia sangat bersyukur dengan keputusan mahkamah yang membebaskan kesemua pertuduhan itu pada bulan Ramadan.

Menurutnya, keputusan itu antara berita yang paling ditunggu-tunggu untuk dia membersihkan namanya selepas lebih dua tahun dipulau masyarakat dan penduduk kampung.

“Sejak disiasat SPRM pada 2023, saya dipulau oleh orang kampung. Keadaan itu menyebabkan saya yang menghidap penyakit diabetes sangat tertekan sehingga menjejaskan sistem saraf.

“Tekanan itu juga memaksa saya untuk menjalani empat pembedahan termasuk ‘slip disc’ selain memasukkan implan plastik dan titanium pada bahagian leher pada November 2023.

“Semasa prosiding perbicaraan berjalan, saya masih bekerja dengan separuh gaji ditahan oleh pihak Felda bermula April tahun lalu hingga kini. Dengan keputusan tidak bersalah ini diharap ia dapat memulihkan semula imej saya di mata masyarakat dan berpeluang mendapatkan semula hak (gaji) yang ditahan hampir setahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN