fbpx
Lokasi kediaman seorang warga emas cedera di leher selepas ditikam anak perempuannya sendiri dalam kejadian di Kampung Segineh, Inas, di sini, malam tadi. -IHSAN POLIS

Anak perempuan tikam leher ibu dengan pembuka tin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Seorang warga emas cedera di leher selepas ditikam anak perempuannya sendiri dalam kejadian di Kampung Segineh, Inas, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada orang awam memaklumkan satu kes pergaduhan melibatkan ahli keluarga kira-kira pukul 7.08 malam.

Menurutnya, hasil siasatan suspek telah menikam leher ibunya sendiri menggunakan senjata tajam yang dipercayai alat pembuka tin.

“Mangsa, seorang perempuan berusia 80an telah dibawa ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut. Tahap kecederaan mangsa dalam keadaan stabil dan masih dalam pemantauan pihak hospital.

“Manakala, suspek seorang perempuan berusia 50an dan merupakan anak kandung kepada mangsa. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kemungkinan suspek mempunyai masalah kesihatan mental,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Muhamad Mustafah lagi, suspek kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, sumber yang memaklumkan kepada Kosmo! menyatakan kejadian berkenaan disedari jiran kedua beranak berkenaan yang kebetulan datang ke rumah bagi memeriksa keadaan.

Sumber berkata, sebaik sampai di rumah, jiran yang sebelum ini diminta tolong oleh anak-anak mangsa yang lain untuk melihat keadaan dua beranak itu ternampak suspek sedang menikam leher ibunya.

Menurut sumber lagi, mangsa dikejarkan ke Hospital Rembau oleh salah seorang anaknya sendiri susulan keadaan mangsa yang cedera di leher serta kening ketika itu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI